KEPULAN asap kelihatan di sekitar Rafah susulan serangan berterusan Isreal. FOTO AFP.
KEPULAN asap kelihatan di sekitar Rafah susulan serangan berterusan Isreal. FOTO AFP.
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Penguasaan sepenuhnya tentera Israel terhadap lintasan sempadan Rafah-Mesir, semalam memusnahkan harapan penduduk Gaza, Palestin meneruskan kelangsungan hidup dalam konflik perang memasuki bulan ketujuh.

Ini kerana lintasan itu satu-satunya harapan penduduk keluar dari 'penjara terbesar' dunia itu untuk mendapatkan perlindungan serta bantuan kemanusiaan dari pihak luar selain mereka yang parah mendapatkan rawatan susulan di hospital Mesir dan negara luar.

Pengurus Besar Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) Cawangan Gaza, Dr Ziad Shehada berkata, tentera rejim mula rakus memusnahkan bangunan dan fasiliti di kawasan itu selepas berjaya menguasai lintasan terbabit semalam.

"Susah nak percaya, terlalu banyak kemusnahan dan syahid. Saya tengok video tentera penjajah memusnahkan fasiliti lintasan Rafah.

"Mereka kini fokuskan kepada lintasan Rafah kerana ia satu-satunya laluan masuk semua jenis bantuan terutama makanan ke Gaza bahkan sesiapa yang ingin keluar terutama mereka yang cedera untuk mendapatkan rawatan susulan di hospital Mesir dan negara luar semuanya kini tidak dapat keluar Gaza lagi.

"Sekarang kami tidak akan terima apa-apa bantuan kerana tiada lagi trak dapat memasuki wilayah ini, dengan bekalan dalam Gaza semakin susut dan tidak mencukupi," katanya berkongsi serangan terbaharu di Rafah menerusi Facebook semalam.

Mengulas lanjut, Ziad berkata, pelancaran operasi darat besar-besaran dilakukan rejim itu ke atas Rafah menyebabkan sebahagian daripada 1.5 juta penduduk yang berlindung di bandar itu terpaksa mencari perlindungan ke kawasan lain.

"Mereka (tentera Israel) mengarahkan orang ramai berpindah ke timur Rafah, tetapi sebenarnya roket dan bom dibedil di mana-mana saja di Rafah.

"Sekarang, penduduk seolah-olah melalui Nakbah apabila mereka sekali lagi terpaksa berpindah dengan ada antara mereka ke Khan Younis, Deir Al-Balah dan Nuseirat, tetapi kami percaya tiada tempat selamat lagi di Gaza.

"Saya sendiri menyaksikan penduduk berpindah tanpa arah tuju sekadar untuk melarikan diri dari serangan Israel," katanya.

Katanya, keadaan dijangka semakin buruk jika gencatan senjata tidak dapat dicapai kedua-dua pihak dalam masa terdekat.

"Kami (MyCARE) ada projek kecil untuk mengedarkan bantuan kepada sejumlah keluarga yang rumah mereka musnah sepenuhnya selain penempatan di beberapa kawasan di Gaza, namun kami masih menunggu bantuan tiba dari luar.

"Saya percaya lebih setengah juta penduduk Palestin di Gaza malam tadi tidur di kawasan kosong tanpa apa-apa keperluan asas kerana mereka tiada khemah dan tilam, namun kami tidak mampu memberikan bantuan penempatan dan perlindungan kerana jumlah permintaan terlampau tinggi," katanya.

Media antarabangsa melaporkan, Israel menghantar kereta kebal ke Rafah di selatan Gaza sebelum mengambil alih kawalan lintasan sempadan dengan Mesir itu semalam sekali gus menafikan laluan kemanusiaan utama masuk ke wilayah itu.

Operasi ketenteraan ke atas Rafah bermula awal pagi Selasa lalu selepas kumpulan pejuang Hamas menerima cadangan gencatan senjata, Isnin lalu.

Dalam kenyataan menjawab pengumuman Hamas, pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu cadangan gencatan senjata itu jauh daripada tuntutan penting Israel, namun kerajaan akan menghantar wakil untuk mencari potensi dalam mencapai kata sepakat.

Kenyataan itu turut memaklumkan, mereka akan meneruskan serangan di Rafah sebagai tekanan terhadap Hamas bagi membebaskan tahanan Israel di Gaza.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2024 @ 1:08 PM