Gaza: Seramai 28 bayi pramatang dipindahkan dari Gaza ke Mesir, pada Isnin, ketika Kementerian Kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas mendakwa Israel melakukan serangan maut ke atas Hospital Indonesia di wilayah itu.
Kementerian itu mendakwa bahawa tentera Israel membunuh sekurang-kurangnya 12 orang dalam serangan ke atas Hospital Indonesia di utara wilayah Palestin.
Mereka yang terbunuh termasuk pesakit, kata jurucakap kementerian itu, Ashraf al-Qudra
Pihak berkuasa Hamas melaporkan, jumlah kematian lebih 13,300 dengan kebanyakannya adalah orang awam. Perang Israel-Hamas kini memasuki minggu ketujuh.
Lewat Isnin, Qudra berkata, kira-kira 100 pesakit setakat ini dipindahkan dari Hospital Indonesia dengan bantuan koordinasi Persatuan Palang Merah.
Mengulas lanjut Qudra berkata, beratus-ratus mangsa perang masih berada di dalam hospital dan usaha sedang diteruskan untuk memindahkan mereka ke hospital di selatan Gaza.
Pihak rejim Israel tidak segera mengulas.
Tentera Israel meneruskan kempen udara dan darat yang bertujuan untuk memusnahkan Hamas sebagai tindak balas serangan 7 Oktober yang dikatakan pegawai zionis, membunuh kira-kira 1,200 orang.
"Kami menyaksikan pembunuhan orang awam yang tiada tolok bandingnya dan belum pernah berlaku dalam mana-mana konflik sejak saya menjadi Setiausaha Agung," kata Ketua Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres.
Lebih 2.4 juta rakyat Palestin terperangkap dalam operasi ketenteraan Israel di Gaza. Warga asing dan pemegang dua pasport sudah dibenarkan keluar.
Pada Isnin, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, 28 bayi pramatang yang dipindahkan dari hospital terbesar di Gaza, Hospital Al-Shifa, dibawa ke tempat selamat di Mesir, melalui lintasan Rafah.
"Semua bayi sedang melawan jangkitan serius dan terus memerlukan penjagaan kesihatan," kata WHO, manakala tentera Israel mendakwa ia "membantu memudahkan" pemindahan.
Semasa pertempuran hebat berlaku, perunding masih berusaha untuk memeterai perjanjian bagi pembebasan beberapa daripada kira-kira 240 tebusan ditawan pejuang Islam.
Tebusan itu ditawan semasa serangan 7 Oktober oleh pejuang Palestin yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke atas Israel.