ASAP menjulang ke udara berikutan pengeboman di timur Rafah di selatan Semenanjung Gaza. FOTO AFP
ASAP menjulang ke udara berikutan pengeboman di timur Rafah di selatan Semenanjung Gaza. FOTO AFP
AFP

Rafah, Wilayah Palestin: Israel melancarkan serangan di bandar Rafah sepanjang malam, sebagai tekanan kepada Hamas menjelang rundingan gencatan senjata di Mesir, hari ini.

Selepas berikrar selama berminggu-minggu cuba untuk masuk ke bandar sempadan selatan, Israel mengarahkan rakyat Palestin di Timur Rafah supaya berpindah ke 'kawasan kemanusiaan yang diperluaskan' menjelang operasi pencerobohan darat.

Wartawan AFP di bandar itu melaporkan pengeboman dilancarkan bertalu-talu sepanjang malam, manakala Hospital Kuwait memaklumkan seramai 11 orang terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera dalam serangan itu.

Selepas rundingan awal sebelum ini gagal membuahkan hasil, semalam Hamas memaklumkan kepada pengantara Mesir dan Qatar bahawa mereka menerima cadangan gencatan senjata dalam perang yang sudah berlangsung selama tujuh bulan, mendorong orang ramai bersorak jalanan di Rafah.

Sementara itu, pejabat Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata, cadangan yang dipersetujui oleh Hamas jauh daripada tuntutan Israel namun kerajaan Israel akan menghantar delegasi untuk berunding.

Rakan rapat Israel, Amerika Syarikat (AS) pula berkata, ia akan 'meneliti' tindak balas daripada Hamas.

Wakil Hamas, Khalil al-Hayya memberitahu saluran Al Jazeera yang berpangkalan di Qatar, cadangan yang dipersetujui oleh Hamas merangkumi tiga fasa.

Katanya, ia termasuk pengunduran sepenuhnya Israel dari Gaza, kepulangan rakyat Palestin yang dipindahkan akibat perang dan pertukaran tebusan-tahanan, dengan matlamat 'gencatan senjata kekal'.

Qatar berkata, delegasi akan ke Kaherah pada pagi Selasa untuk menyambung semula rundingan dengan 'harapan rundingan itu akan mencapai persetujuan untuk gencatan senjata serta-merta dan kekal di Semenanjung Gaza'.

Seorang pegawai kanan Hamas yang enggan dikenali berkata, Israel kini mesti memutuskan sama ada ia menerima atau 'menghalang' gencatan senjata itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2024 @ 11:56 AM