Seorang kanak-kanak berjalan melepasi timbunan sampah rumah di sebuah jalan di Kota Gaza pada 28 Mac 2024. FOTO AFP
Seorang kanak-kanak berjalan melepasi timbunan sampah rumah di sebuah jalan di Kota Gaza pada 28 Mac 2024. FOTO AFP
AFP

The Hague: Mahkamah tertinggi dunia, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) semalam, memerintahkan Israel untuk memastikan bantuan kemanusiaan segera sampai kepada penduduk Gaza, Palestin.

Dalam keputusannya, mahkamah memerintahkan Israel mengambil semua langkah yang berkesan untuk memastikan tiada halangan bantuan kemanusiaan dan keperluan asas penduduk Gaza dipenuhi.

"Ini termasuk keperluan makanan, air, elektrik, bahan api, tempat tinggal, pakaian, kebersihan dan sanitasi serta bekalan perubatan dan rawatan perubatan kepada rakyat Palestin di seluruh Gaza.

"Rakyat Palestin di Gaza tidak lagi hanya menghadapi risiko kebuluran, tetapi... kebuluran sedang berlaku," kata hakim mahkamah itu.

Peperangan di wilayah itu yang berlarutan memasuki bulan keenam, memaksa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) meluluskan resolusi yang menuntut gencatan senjata segera di Gaza, Isnin lalu.

Sebelum ini, Afrika Selatan meminta ICJ untuk mengukuhkan perintah sebelumnya yang dikeluarkan pada Januari untuk Israel membenarkan bantuan ke Gaza selepas mengambil kira keadaan di lapangan yang semakin merosot.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran kebuluran semakin hampir menjadi kenyataan di utara Gaza dan berkata sistem kesihatan Gaza runtuh kerana permusuhan berterusan dan kekangan akses.

Walaupun perang mengubah sebahagian besar wilayah itu menjadi tanah terbiar yang musnah, Israel juga mengenakan kepungan terhadap 2.4 juta penduduknya, hanya diredakan dengan penyampaian bantuan sekali-sekala.

Tentera Israel melaporkan pertempuran hebat berhampiran Hospital Al-Amal di bandar utama selatan Gaza Khan Younis dengan membunuh puluhan Hamas dan mendapatkan semula ratusan senjata.

Di seluruh Gaza, tentera Israel berkata, pihaknya menyerang puluhan sasaran sepanjang hari sebelumnya manakala kementerian kesihatan di Gaza melaporkan 62 lagi kematian.

Kementerian Kesihatan berkata, kereta kebal dan kenderaan berperisai Israel juga berkumpul di sekitar kemudahan kesihatan Khan Younis yang lain di Hospital Nasser, namun belum melakukan serbuan berskala penuh.

Pertempuran juga telah menggegarkan daerah Bandar Gaza sekitar Hospital Al-Shifa, wilayah terbesar dengan Israel mendakwa, membunuh kira-kira 200 Hamas sejak awal minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2024 @ 10:12 AM