KESAN kemusnahan susulan serangan Israel di kejiranan Mazzeh di Damsyik. FOTO Sana/ Reuters
KESAN kemusnahan susulan serangan Israel di kejiranan Mazzeh di Damsyik. FOTO Sana/ Reuters
AFP

Damsyik: Serangan Israel ke atas bandar ini yang menyasarkan ketua perisik pasukan Pengawal Revolusi Iran di Syria, membunuh 13 orang, kata pemantau perang semalam.

"Jumlah kematian meningkat kepada 13 orang," kata Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria ketika serangan pada Sabtu, menyemak semula jumlah kematian sebelum ini.

Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) mengesahkan kematian lima anggota dalam serangan yang dipersalahkan kepada Israel, musuh ketat serantaunya.

Pemantau berpangkalan di Britain itu, yang mempunyai rangkaian sumber yang luas di Syria berkata, kematian itu membabitkan warga Iran, termasuk tiga pemimpin IRGC, empat warga Syria yang bekerja dengan Iran, seorang warga Syria, dua waga Lubnan dan seorang warga Iraq.

Agensi berita Iran, Mehr, yang memetik sumber tanpa nama berkata, ketua perisikan Pengawal Revolusi Iran di Syria, dan timbalannya adalah antara mereka yang syahid dalam serangan itu.

Balai Cerap Syria berkata, bangunan yang disasarkan adalah milik IRGC dan kawasan itu diketahui sebagai zon keselamatan tinggi yang menempatkan pemimpin IRGC dan kumpulan Palestin pro-Iran.

Kejiranan Mazzeh yang mewah di sini juga menjadi lokasi kedutaan dan ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Serangan pada Sabtu adalah pembunuhan berprofil tinggi kedua yang disasarkan di Syria dalam tempoh kurang sebulan.

Bulan lalu, serangan udara Israel di Syria membunuh seorang jeneral kanan Iran.

Razi Moussavi adalah komander paling kanan Pasukan Quds yang terbunuh di luar Iran, sejak serangan dron Amerika Syarikat dekat Baghdad, pada Januari 2020, membunuh komander IRGC, Qasem Soleimani.

Sepanjang lebih sedekad perang saudara di Syria, Israel melancarkan ratusan serangan udara, terutamanya bagi menyasarkan pasukan yang disokong Iran dan kedudukan tentera Syria.

Bagaimanapun, serangan sebegitu semakin rancak sejak perang antara Israel dan Hamas bermula 7 Oktober lalu.

Israel jarang mengulas mengenai serangan individu yang menyasarkan Syria tetapi berulang kali berkata tidak akan membenarkan Iran, yang menyokong kerajaan Presiden Bashar al-Assad, 'meluaskan' kehadirannya di sana.

Sejak 2011, Syria mengalami konflik berdarah yang sudah meragut lebih daripada setengah juta nyawa dan menyebabkan beberapa juta orang kehilangan tempat tinggal.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2024 @ 10:08 AM