FOTO fail menunjukkan tentera Israel di Bukit Golan berhampiran Syria. FOTO AFP
FOTO fail menunjukkan tentera Israel di Bukit Golan berhampiran Syria. FOTO AFP
AFP

Baitulmaqdis: Israel, pada Rabu, menyerang Homs di Syria, ketika perang Gaza menyemarakkan ketegangan di seluruh Timur Tengah, lapor media tempatan.

Koresponden Sana di Homs memaklumkan pertahanan udara memintas sasaran musuh di wilayah tengah, lapor agensi berita rasmi Syria, Sana.

Televisyen Syria juga melaporkan serangan Israel di tengah Syria, di wilayah Homs.

Minggu lalu, Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan ke atas kumpulan yang disokong Iran di Syria dan Iraq.

Kesannya, puluhan nyawa terkorban dan ia adalah tindak balas serangan maut terhadap tentera AS di Jordan.

Menurut pemantau perang, Syrian Observatory for Human Rights, serangan Israel berhampiran Damsyik membunuh lapan orang, termasuk pejuang pro-Iran pada Januari lalu.

Sepanjang lebih sedekad perang saudara di Syria, Israel sudah melancarkan ratusan serangan udara di negara itu, terutamanya menyasarkan tentera yang disokong Iran serta kedudukan tentera Syria.

Bagaimanapun, serangan itu semakin rancak sejak perang antara Israel dan Hamas bermula pada 7 Oktober lalu.

Israel jarang mengulas mengenai serangan individu yang menyasarkan Syria, tetapi berulang kali menyatakan tidak akan membenarkan Iran, yang menyokong kerajaan Presiden Bashar al-Assad, meluaskan pengaruhnya di sana.

Sejak 2011, Syria mengalami konflik berdarah yang membunuh lebih setengah juta orang dan menyebabkan jutaan orang kehilangan tempat tinggal.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2024 @ 9:46 AM