FOTO fail menunjukkan lokasi di Damsyik yang menjadi sasaran serangan Israel pada 21 Februari lalu. FOTO AFP
FOTO fail menunjukkan lokasi di Damsyik yang menjadi sasaran serangan Israel pada 21 Februari lalu. FOTO AFP
AFP

Beirut: Pemantau perang memaklumkan serangan Israel ke atas Syria, awal Ahad, menyasarkan sekurang-kurangnya dua tapak di wilayah Damsyik.

Lokasi sasaran termasuk depot senjata, manakala media kerajaan mendedahkan seorang anggota tentera cedera dalam serangan itu.

Israel melancarkan ratusan serangan udara ke atas sasaran di Syria sejak perang saudara meletus pada 2011, dengan menyasarkan tentera yang disokong Iran termasuk pejuang pergerakan Hizbullah Lubnan serta kedudukan tentera Syria.

Serangan itu meningkat sejak perang Israel dengan pejuang Hamas, sekutu Hizbullah, bermula pada 7 Oktober.

Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria berkata, peluru berpandu Israel menyasarkan depot senjata milik tentera Syria dan digunakan oleh Hizbullah di Qalamun.

Satu lagi tapak berhampiran batalion tentera di kawasan yang sama turut menjadi sasaran, tambah pemantau yang berpangkalan di United Kingdom itu.

Agensi berita Syria, Sana, yang memetik kenyataan daripada sumber tentera berkata, musuh Israel melakukan serangan udara dengan menyasarkan beberapa titik di wilayah selatan tanpa menyatakan lokasinya.

Laporan sama mendedahkan seorang tentera cedera dalam serangan itu dan melaporkan kerosakan harta benda, sambil menambah bahawa sistem pertahanan udara menembak jatuh beberapa peluru berpandu.

Awal bulan ini, serangan Israel membunuh seorang Pengawal Revolusi Iran dan dua individu lain di Banias di pantai Mediterranean, Syria,

Minggu ini, tentera Israel memaklumkan pihaknya sudah melancarkan kira-kira 4,500 sasaran Hizbullah di Lubnan dan Syria, sejak lima bulan lalu.

Israel jarang mengulas mengenai serangan individu tetapi berulang kali berkata pihaknya tidak akan membenarkan Iran meluaskan jajahannya di Syria.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2024 @ 10:55 AM