ASAP memenuhi udara selepas serangan peluru berpandu Israel ke atas sebuah rumah di Damsyik, Syria yang mengorbankan anggota Pengawal Revolusi Iran termasuk ketua unit maklumat pasukan, semalam. FOTO Reuters.
ASAP memenuhi udara selepas serangan peluru berpandu Israel ke atas sebuah rumah di Damsyik, Syria yang mengorbankan anggota Pengawal Revolusi Iran termasuk ketua unit maklumat pasukan, semalam. FOTO Reuters.
Reuters

Baghdad: Serangan peluru berpandu di Syria, Lubnan, Iraq dan Yaman, semalam mencetuskan konflik serantau lebih luas yang didorong peningkatan risiko perang di Gaza.

Ia antara Iran dan sekutunya yang menentang pakatan Israel dan Amerika Syarikat (AS).

Iran berkata, lima daripada Pengawal Revolusinya terbunuh dalam serangan peluru berpandu Israel ke atas sebuah rumah di Damsyik, manakala sumber keselamatan di Lubnan berkata serangan Israel di sana membunuh seorang anggota Hizbullah yang disokong Iran.

Semalam juga menyaksikan peluru berpandu dan roket dilancar pejuang yang disokong Iran di Iraq, dengan kumpulan itu menyasarkan tentera AS.

Ia mengena pangkalan udara al-Asad, kata Komando Pusat AS.

Pihak berkuasa itu sedang menilai kecederaan dialami kakitangan AS, namun seorang anggota perkhidmatan Iraq cedera.

Sementara AS memintas peluru berpandu yang disasarkan oleh kumpulan Houthi di Yaman ke arah Laut Merah, yang dikatakan sebagai ancaman kepada perkapalan.

Konflik di Gaza bermula pada 7 Okt 2023 apabila pejuang Hamas melakukan serbuan mengejut ke atas Israel yang mengorbankan lebih 1,200 orang dan melarikan lebih 200 tebusan.

Sejak itu Israel melancarkan operasi ketenteraan yang kini melebihi 100 hari dan 24,927 penduduk di Gaza terkorban sementara, 62,388 lagi cedera, sebahagian besarnya wanita dan kanak-kanak.

Hamas adalah sebahagian daripada "Axis of Resistance" Iran, sebuah perikatan serantau yang turut merangkumi Hizbullah Lubnan, kerajaan Presiden Bashar al-Assad di Syria, kumpulan pejuang Syiah di Iraq dan Houthi yang menguasai sebahagian besar Yaman.

Di tengah-tengah ketegangan serantau yang meningkat, Presiden Iran, Ebrahim Raisi berikrar untuk menghukum Israel atas serangannya ke atas Syria, dan menggelarnya sebagai 'jenayah' yang tidak akan dibiar tanpa dijawab, menurut kenyataan disiarkan saluran rasmi Iran, IRIB.

Tiga daripada Pengawal Revolusi yang terbunuh dalam serangan Israel itu dilapor media Iran dengan penuh hormat, menunjukkan mereka adalah komander kanan.

Selain Gaza, siri konflik dengan kesan antarabangsa yang meluas ialah di Laut Merah, yang mana Houthi berulang kali menyasarkan kapal yang dikaitkan dengan Israel.

Sesetengah syarikat mengelak laluan air utama itu yang memberi tamparan kepada perdagangan global.

Susulan itu, AS dan British sejak seminggu lalu telah menyasarkan serangan ke atas tentera Houthi yang disokong Iran di Yaman.

Menteri Luar Arab Saudi menzahirkan kebimbangan berhubung ketegangan di Laut Merah oleh tentera Houthi dan serangan balas AS boleh menjadikan keadaan tidak terkawal di Timur Tengah.

"Kami sangat bimbang," kata Putera Faisal bin Farhan kepada CNN dalam temubual yang disiarkan hari ini

Katanya, rantau itu kini dalam tempoh yang sukar dan berbahaya.

"Itulah sebabnya kita menyeru kurangkan ketegangan," katanya.

Sumber serantau dan Iran berkata, Iran dan Hizbullah mempunyai pejuangnya di Yaman yang membantu serangan langsung ke atas perkapalan, namun Houthi menafikannya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2024 @ 12:16 PM