TENTERA AS memberi tabik hormat kepada tiga rakan mereka yang terbunuh dalam serangan dron di Jordan.  FOTO AFP
TENTERA AS memberi tabik hormat kepada tiga rakan mereka yang terbunuh dalam serangan dron di Jordan. FOTO AFP
Reuters

Washington: Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan udara balas di Iraq dan Syria semalam terhadap lebih 85 sasaran yang dikaitkan dengan Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) dan kumpulan pejuang yang disokong mereka.

Tentera AS dalam satu kenyataan berkata, serangan itu mengenai sasaran termasuk pusat arahan dan kawalan, roket, peluru berpandu dan kemudahan penyimpanan dron serta kemudahan rantaian bekalan logistik dan peluru.

Katanya, serangan lebih 85 sasaran itu merangkumi tujuh lokasi dengan lebih 125 peluru termasuk penggunaan pengebom jarak jauh yang diterbangkan dari AS.

Mereka menyasarkan Pasukan Quds, pengintipan asing dan cabang separa tentera IRGC yang banyak mempengaruhi kumpulan pejuang sekutunya di seluruh Asia Barat dari Lubnan ke Iraq dan Yaman ke Syria.

Pegawai AS memberitahu Reuters, AS membuat penilaian, dron yang membunuh tiga tentera dan mencederakan lebih 40 orang dilakukan Iran.

Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin berkata, Presiden Joe Biden mengarahkan tindakan tambahan terhadap IRGC dan mereka yang dikaitkan dengannya.

"Ini adalah permulaan respons kami.

"Kami tidak mencari konflik di Asia Barat atau di mana-mana sahaja, tetapi presiden dan saya tidak akan bertolak ansur dengan serangan ke atas tentera Amerika," katanya.

Sementara itu, media kerajaan Syria berkata, pencerobohan AS di kawasan padang pasirnya dan di sempadan Syria-Iraq mengakibatkan beberapa mangsa dan kecederaan.

Serangan terbaharu itu sebagai tindak balas serangan maut di Jordan yang mengorbankan tiga warga AS, tentera dan mencederakan kira-kira 40 mangsa lain.

Serangan itu dipercayai hanya yang pertama dalam tindak balas pelbagai peringkat pentadbiran Presiden Joe Biden terhadap serangan hujung minggu lalu yang dilakukan pejuang yang disokong Iran.

Walaupun serangan AS tidak menyasarkan mana-mana lokasi dalam Iran, ia berkemungkinan meningkatkan kebimbangan mengenai ketegangan yang semakin memuncak di Timur Tengah di tengah-tengah kejatuhan yang semakin meluas daripada perang lebih tiga bulan Israel dengan pejuang Hamas Palestin di Gaza.

Semalam, Biden dan pemimpin Pentagon menghadiri Pangkalan Tentera Udara Dover di Delaware ketika mayat tiga tentera AS yang terbunuh dalam serangan Jordan, dibawa pulang.

Serangan Jordan adalah serangan maut pertama terhadap tentera AS sejak perang Israel-Hamas meletus pada Oktober lalu.

Tentera AS diserang lebih 160 kali di Iraq, Syria dan Jordan sejak konflik Hamas-Israel, 7 Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2024 @ 11:07 AM