FOTO fail menunjukkan bot Filipina belayar berhampiran kapal Pengawal Pantai China di Laut China Selatan. FOTO Reuters
FOTO fail menunjukkan bot Filipina belayar berhampiran kapal Pengawal Pantai China di Laut China Selatan. FOTO Reuters
AFP

Beijing: Beijing dan Washington, kedua-duanya pada Rabu, mengumumkan penempatan tentera di Laut China Selatan berikutan ketegangan yang meningkat antara China dan Filipina di kawasan perairan yang dipertikaikan itu.

Komando Teater Selatan Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) berkata, ia "menyusun tentera laut dan udara untuk menjalankan rondaan rutin" di laut dari 3 hingga 4 Januari.

Sementara itu, Amerika Syarikat (AS) mengumumkan bahawa kumpulan penyerang kapal induk yang diketuai oleh USS Carl Vinson menjalankan latihan dua hari dengan Tentera Laut Filipina.

"Tentera Laut AS kerap menjalankan latihan seperti ini untuk mengeratkan hubungan antara negara sekutu dan rakan kongsi," kata satu kenyataan.

Tindakan itu dibuat selepas video yang dikeluarkan oleh Pengawal Pantai Filipina, bulan lalu, menunjukkan kapal China menyembur air ke atas bot Filipina.

Baru-baru ini juga, berlaku perlanggaran antara bot Filipina dan China di terumbu, dengan kedua-dua negara saling menyalahkan antara satu lain.

Kenyataan PLA tidak menyebut di mana betul-betul rondaan akan dilakukan atau memberikan butiran khusus mengenai matlamat mereka.

Beijing menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan dan mengabaikan keputusan tribunal antarabangsa bahawa dakwaannya tidak mempunyai asas undang-undang.

Ia mengerahkan bot untuk meronda di laluan air yang sibuk itu dan membina pulau buatan untuk mengukuhkan tuntutannya.

"Tentera kekal berjaga-jaga pada setiap masa untuk menjaga kedaulatan negara, keselamatan dan hak dan kepentingan maritim," kata kenyataan PLA.

"Mereka tetap mengetahui sepenuhnya sebarang aktiviti ketenteraan yang mengganggu Laut China Selatan dan mewujudkan titik kilat."

Beijing mengkritik dasar Filipina yang lebih agresif di kawasan itu dan memberi amaran kepada Manila untuk "membuat pilihan yang rasional" sebagai tindak balas kepada insiden, baru-baru ini.

Presiden Filipina Ferdinand Marcos berikrar untuk tidak menyerah kepada "paksaan", tanpa menyebut nama China.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2024 @ 9:18 AM