AFP

Manila: Tentera Filipina mendakwa, pengawal pantai China merempuh sebelum menaiki botnya di Laut China Selatan, Isnin lalu.

Insiden itu juga menyebabkan seorang anak kapal Filipina kehilangan satu ibu jari.

Kejadian terbaharu itu dalam siri konfrontasi yang semakin memuncak antara kapal China dan Filipina, sejak beberapa bulan kebelakangan ini, ketika Beijing meningkatkan usaha untuk menolak tuntutannya di kawasan dipertikaikan.

Ketua tentera Filipina, Jeneral Romeo Brawner mendakwa, pengawal pantai China bersenjatakan pedang, lembing dan pisau dalam kejadian di Second Thomas Shoal.

Beliau mengecam tindakan China itu sebagai "lanun" dan menuntut pemulangan senjata dan peralatan lain yang dirampas serta ganti rugi bagi peralatan yang rosak.

"Mereka mengambil senjata api dan peralatan lain, memusnahkan peralatan kami di atas kapal termasuk motor. Mereka membocorkan bot kembung kami.

"Kami menuntut China memulangkan senapang dan peralatan kami dan membayar ganti rugi yang mereka lakukan.

"Bagi saya ini lanun," katanya.

China mempertahankan tindakannya dengan kementerian luar negerinya, semalam berkata, tiada langkah langsung diambil terhadap anggota Filipina.

TANGKAP layar daripada video menunjukkan insiden berkenaan. FOTO AFP
TANGKAP layar daripada video menunjukkan insiden berkenaan. FOTO AFP

Imej dari Pengawal Pantai China yang dikongsi media negara itu berjudul Pengawal pantai China melakukan menaiki dan memeriksa bot Filipina buat kali pertama.

Gambar menunjukkan dua kapal China menghampiri kapal Filipina yang lebih kecil dari kedua-dua bahagian, manakala sebuah lagi bot China mengekori rapat dari belakang.

Ia menunjukkan pegawai pengawal pantai China kemudian menaiki kapal yang dikelilingi itu.

Beijing menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan, mengetepikan tuntutan daripada beberapa negara Asia Tenggara termasuk Filipina dan keputusan antarabangsa bahawa pendiriannya tidak mempunyai asas undang-undang.

Second Thomas Shoal terletak kira-kira 200 kilometer (km) dari Pulau Palawan di barat Filipina dan lebih 1,000 km dari daratan utama terdekat di China, pulau Hainan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2024 @ 12:27 PM