GAMBAR menunjukkan seorang aktivis nasionalis Filipina dengan bendera negara itu sementara bot pengawal pantai China belayar berhampiran di Beting Scarborough.
GAMBAR menunjukkan seorang aktivis nasionalis Filipina dengan bendera negara itu sementara bot pengawal pantai China belayar berhampiran di Beting Scarborough.
Agensi

Manila: Hasrat sekumpulan rakyat Filipina untuk memacak bendera negara itu di sebuah beting di Laut China Selatan gagal apabila mereka dihalang sebuah bot pengawal pantai China.

Ketegangan berlaku seketika antara pengawal pantai itu dan kumpulan Kalayaan Atin Ito (Kebebasan Milik Kami) di Beting Scarborough.

Ia terjadi ketika Menteri Luar dari negara ASEAN dan China membuat persiapan di Kunming untuk berbincang mengenai tuntutan bertindih di kawasan perairan yang menjadi rebutan itu.

Beijing mendakwa seluruh Laut China Selatan itu miliknya.

Kumpulan nasionalis Filipina itu bertindak demikian ketika Mahkamah Arbitrasi di The Hague, Belanda, bersiap sedia untuk mengumumkan keputusan kes yang dikemukakan Manila mengenai hak ketuanan terhadap beting berkenaan.

“Mereka halang kami menghampiri Beting Scarborough. Keadaan agak tegang sehingga kami memutuskan untuk pulang,” kata Joy Ban-eg, ketua kumpulan Kalayaan Atin kepada wartawan.

Menurutnya, 16 orang menyertai pelayaran 16 jam itu untuk memacak bendera Filipina di beting berkenaan sempena Hari Kemerdekaan ke-18 negara itu, kelmarin.

Bang-eg berkata, bot kayu itu hampir tiba di beting berkenaan apabila pengawal pantai China menahan dan mengarah mereka belayar pulang.

Lima rakyat Filipina terjun ke laut dan cuba berenang ke beting itu, tetapi dikejar pegawai China yang menggunakan bot getah dan menyembur mereka dengan air serta merampas kamera dan beg berisi bendera Filipina.

Pihak berkuasa Filipina enggan mengulas kejadian itu.

Bagaimanapun, Beijing semalam mengulangi, Beting Scarborouh adalah miliknya sejak zaman purba lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2016 @ 10:30 AM