Beijing: Sebuah akhbar tabloid di China semalam menuduh Filipina sebagai `pengikut kecil yang comel’ Amerika Syarikat (AS) dan mengkritik latihan ketenteraan negara itu dengan AS.

Akhbar berbahasa Inggeris, Global Times yang mempunyai hubungan rapat dengan Parti Komunis China itu mengkritik Filipina dalam rencana pengarangnya yang disiarkan semalam.

Rencana itu disiarkan serentak dengan hari pertama latihan ketenteraan Filipina dan tentera AS yang dilihat sebagai amaran kepada Beijing.

Hubungan Beijing dan Manila semakin buruk selepas berlaku pertikaian wilayah di perairan Laut China Selatan.

“Antara semua negara yang terbabit dalam pertikaian wilayah di Laut China Selatan, Filipina yang paling banyak mempunyai helah.

“Bagaimanapun, tiada satu pun helah mereka itu berjaya,” katanya.

Kata akhbar itu lagi, China tidak gentar walaupun negara itu menunjukkan kekuatan ketenteraannya.

“Siapa yang akan percaya China boleh ditipu untuk berkompromi apabila ada pihak yang menunjukkan kekuatannya.

“Sungguh melucukan apabila kami membayangkan askar Filipina tersungkur di hadapan tentera AS dalam latihan berkenaan,” tambahnya.

Beijing menuntut kebanyakan wilayah yang kaya dengan sumber alam dan strategik di Laut China Selatan termasuk kawasan yang berhampiran dengan negara Asia lain.

China juga meluaskan kehadirannya di wilayah yang dituntut sejak beberapa tahun lalu dengan membuat kerja penambakan tanah di kawasan terumbu dan pulau kecil untuk membina landasan kapal terbang.

Selain China dan Filipina, Malaysia, Vietnam, Brunei dan Taiwan turut menuntut beberapa pulau di Laut China Selatan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2015 @ 7:39 AM