BERNAMA

Beijing: China pada Selasa mengumumkan akan melancarkan 'siri operasi ketenteraan bersasar' susulan lawatan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi ke Taiwan.

"Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) akan melancarkan operasi ketenteraan bersasar sebagai tindak balas kepada lawatan Nancy Pelosi ke pulau Taiwan, dan akan mempertahankan kedaulatan negara dan integriti jajahannya," lapor Agensi Anadolu memetik Kementerian Pertahanan China

Pengumuman itu tidak lama selepas Pelosi mendarat di Taiwan, lawatan pertama untuk speaker Dewan Perwakilan AS, sejak 25 tahun lalu.

China menganggap Taiwan sebagai wilayahnya yang terpisah.

Bagaimanapun, Taipei sudah menegaskan kemerdekaannya sejak 1949.

PLA juga mengumumkan akan mengadakan operasi ketenteraan bersama di sekitar Taiwan, dengan latihan bersama di laut dan udara di utara, barat daya dan tenggara pulau berkenaan.

Selain itu, tembakan jarak jauh di Selat Taiwan, dan tembakan peluru berpandu konvensional di kawasan maritim pulau berkenaan, bermula malam Selasa, lapor akhbar China, Global Times.

Selain itu, tentera China akan mengadakan latihan ketenteraan dan aktiviti latihan termasuk empat hari latihan kebakaran di enam wilayah yang berhampiran Taiwan, mulai Khamis, menurut akhbar berkenaan.

BANGUNAN Kementerian Luar Negeri China di Beijing. FOTO AP
BANGUNAN Kementerian Luar Negeri China di Beijing. FOTO AP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2022 @ 9:35 AM