FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
AFP

Jakarta: Kemalangan antara kereta api dan bas mini di timur pulau Jawa, pada Ahad, membunuh sekurang-kurangnya 11 orang dan mencederakan beberapa yang lain, kata seorang pegawai kepada media tempatan.

Kereta api itu dalam perjalanan menuju ke bandar pelabuhan Surabaya apabila ia melanggar sebuah bas mini yang membawa sedozen penumpang, di lintasan di bandar Lumajang Jawa Timur, kira-kira jam 8 malam (waktu tempatan), lapor penyiar Kompas TV.

"Sepuluh maut di lokasi, dan seorang (mati) di pusat kesihatan masyarakat selepas menerima rawatan," kata pemangku ketua daerah Lumajang Indah Wahyuni ​​kepada rangkaian itu.

Beliau berkata, empat orang termasuk seorang kanak-kanak sedang dirawat di hospital tempatan, sambil menambah adalah tidak jelas sama ada mereka mempunyai hubungan kekeluargaan.

"Pada masa itu, tiada palang rentas kereta api, jadi tiada tanda yang boleh memberi maklumat kepada pemandu," kata seorang wartawan Kompas TV selepas kemalangan itu.

Imej menunjukkan bas mini biru terbalik dengan mangsa dibawa pergi di atas katil perubatan.

Anwar Yuli Prastyo, seorang pegawai tempatan dari pengendali kereta api milik kerajaan PT Kereta Api Indonesia, memberitahu Kompas, kereta api itu meneruskan perjalanannya selepas kemalangan berkenaan.

Kemalangan pengangkutan bukan perkara luar biasa di Indonesia, sebuah negara kepulauan yang luas di mana bas, kereta api dan juga kapal terbang sering usang dan tidak diselenggara dengan baik.

Pada 2015, perlanggaran antara kereta api komuter dan bas mini di lintasan di ibu kota Jakarta, mengorbankan 16 orang.

Pada 2013, tujuh orang terbunuh dan lebih ramai lagi cedera apabila kereta api komuter bertembung dengan lori tangki bahan api di lintasan di Jakarta, dan terbakar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2023 @ 8:57 AM