TANGKAP layar daripada video menunjukkan kemalangan berkenaan.
TANGKAP layar daripada video menunjukkan kemalangan berkenaan.
BERNAMA

Jakarta: Sekurang-kurangnya 12 orang maut dalam kemalangan lebuh raya di Karawang, Jawa Barat kira-kira 7.30 pagi semalam (waktu tempatan).

Ketua Kor Trafik, Inspektor Jeneral Aan Sukanan berkata, kejadian berlaku di Tol Jakarta-Cikampek di KM58 membabitkan bas, van mini dan kenderaan pelbagai guna (MPV).

"Punca kejadian sedang disiasat," katanya.

Aan berkata, pasukan siasatan ditugaskan untuk mengenal pasti mayat mangsa di Hospital Karawang.

Siasatan awal menunjukkan sebuah van mini dalam perjalanan dari Jakarta yang melalui lorong kontra mengalami masalah mekanikal, menyebabkan perlanggaran dengan bas sebelum ia terbakar.

Sebuah MPV yang melalui kawasan itu kemudian merempuh van mini berkenaan, menurut jurucakap Polis Jawa Barat, Pesuruhjaya Jules Abraham.

Kejadian itu menyebabkan kesesakan jalan raya sepanjang 16 kilometer di tengah-tengah kebanjiran orang ramai yang pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2024 @ 8:25 AM