Kadar kelahiran bayi di Jepun menurun. FOTO Reuters
Kadar kelahiran bayi di Jepun menurun. FOTO Reuters
Reuters

Tokyo: Kadar kelahiran Jepun pada 2022 merosot untuk tahun ketujuh berturut-turut sekali gus terendah pernah direkodkan dalam tempoh 18 tahun.

Kementerian Kesihatan, menekankan krisis mencengkam negara apabila populasi berkurangan dan kadar menua berlaku dengan cepat.

Katanya, kadar kesuburan atau purata bilangan anak yang dilahirkan seorang wanita sepanjang hayatnya ialah 1.2565.

"Kadar itu berbanding dengan paras terendah sebelumnya iaitu 1.2601 yang dicatatkan pada tahun 2005.

"Ia jauh di bawah kadar 2.07 yang dianggap perlu untuk mengekalkan populasi stabil," kata kementerian itu semalam.

Perdana Menteri, Fumio Kishida menjadikan isu itu sebagai keutamaan dalam kerajaannya.

Walaupun tahap hutang negara masih tinggi, kerajaan merancang memperuntukkan perbelanjaan 3.5 trilion yen (RM114.4 bilion) setahun untuk penjagaan anak dan langkah lain untuk menyokong ibu bapa.

"Populasi belia akan mula berkurangan secara drastik pada tahun 2030-an.

"Tempoh masa sehingga itu adalah peluang terakhir kami untuk membalikkan trend kelahiran yang semakin berkurangan," katanya minggu ini ketika melawat sebuah pusat jagaan.

Penularan pandemik Covid-19 memburukkan lagi cabaran demografi Jepun dengan lebih sedikit perkahwinan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Faktor itu menyumbang kepada berkurangnya kadar kelahiran.

Bilangan bayi baru lahir di Jepun susut lima peratus kepada 770,747 tahun lalu, paras terendah baharu direkodkan.

Kematian pula meningkat sembilan peratus kepada rekod 1.57 juta.

Jepun merekodkan lebih 47,000 kematian tahun lalu disebabkan Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Jun 2023 @ 12:32 PM