Tokyo: Anggaran jumlah bayi yang dilahirkan di Jepun pada 2014 merosot kepada 1,001 juta, angka paling rendah pernah dicatatkan.

Ia sekali gus menyumbang kepada peningkatan penduduk yang semakin tua dan berkurangan di negara itu.

Kementerian Kesihatan, Kebajikan dan Buruh berkata, angka berkenaan ialah paras terendah untuk empat tahun berturut-turut sementara anggaran jumlah kematian dalam kalangan penduduk negara itu sepanjang 2014 ialah 1,269 juta, meningkat untuk tahun kelima berturut-turut.

Jumlah kelahiran mungkin di bawah sejuta orang apabila data sebenar dikeluarkan tidak lama lagi.

Seorang pegawai kementerian berkata, penurunan jumlah bayi yang dilahirkan tidak boleh dielakkan memandangkan wanita yang berkemampuan untuk melahirkan anak semakin berkurangan.

Populasi yang semakin tua memening dan merisaukan kerajaan yang berdepan dengan masalah untuk menanggung jumlah pesara yang semakin bertambah.

Data kerajaan yang dikeluarkan pada April lalu menunjukkan pengurangan populasi untuk tahun ketiga berturut-turut dengan golongan tua mewakili seperempat jumlah penduduk negara itu.

Kerajaan sebelum ini memberi amaran, bilangan penduduk yang berusia 65 tahun atau lebih diramal mencapai 40 peratus daripada populasi negara itu pada 2060. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 January 2015 @ 5:03 AM