GAMBAR hiasan. FOTO Agensi
GAMBAR hiasan. FOTO Agensi
Agensi

Tokyo: Jepun merekodkan jumlah kelahiran terendah dalam tempoh lebih satu abad tahun lalu, menurut data dikeluarkan kerajaan pada Jumaat.

Angka itu pasti mencetuskan kebimbangan terhadap implikasi penurunan populasi yang berterusan, isu yang sudah lama timbul dalam lingkungan dasar dan wacana politik negara itu.

Jepun merekodkan 811,604 kelahiran dan 1,439,809 kematian tahun lalu, sekali gus menunjukkan populasi menurun sebanyak 628,205, penurunan terbesar secara semula jadi sejak data dikumpulkan, lapor Reuter dipetik Washingtonpost.

Ia adalah penurunan sebanyak 3.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Kadar kesuburan - purata bilangan anak seorang wanita sepanjang hayat - turun untuk tahun keenam berturut-turut kepada 1.3.

Kadar itu adalah yang keempat terendah dalam rekod, menurut agensi berita Jepun Jiji Press.

Jumlah itu berbanding kadar 2.4 di seluruh dunia pada 2020, data global terbaru dikeluarkan Bank Dunia.

Lebih daripada 12 negara, termasuk Ukraine dan Itali, melaporkan kadar kesuburan yang lebih rendah daripada Jepun pada tahun itu.

Niger berada di hujung spektrum yang lain, dengan kadar kesuburan 6.7 pada 2020.

Seorang pegawai Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan memberitahu Jiji Press penurunan kadar kesuburan tahun lalu disebabkan penurunan bilangan wanita dalam usia mengandung serta kadar kesuburan wanita berusia 20-an.

Data itu adalah berita buruk bagi rakyat Jepun yang bimbang mengenai kesan masyarakat akibat penuaan dan populasi yang semakin berkurangan di negara itu.

Hampir 30 peratus penduduk di negara itu berusia lebih 65 tahun.

Penurunan dalam populasi usia bekerja menyumbang kepada kekurangan tenaga kerja, yang mana pandemik Covid-19 memburukkan lagi keadaan, pada masa sama menimbulkan kebimbangan mengenai masalah buruh yang lebih teruk pada masa akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Jun 2022 @ 11:43 AM