ORANG ramai di Lintasan Shibuya di Tokyo. FOTO fail AFP
ORANG ramai di Lintasan Shibuya di Tokyo. FOTO fail AFP
AFP

Tokyo: Kadar kelahiran bayi yang semakin menurun mendorong pengeluar lampin pakai buang di Jepun beralih kepada pasaran individu dewasa.

Oji Holdings berkata, mereka berhenti membuat lampin untuk bayi, sebaliknya meningkatkan pengeluaran lampin untuk orang dewasa.

Syarikat itu akan menyelesaikan pengeluaran domestik lampin bayi pada September, selepas pengeluaran menurun daripada kira-kira 700 juta pada 2001, kepada 400 juta hari ini.

"Permintaan untuk lampin bayi semakin berkurangan kerana faktor termasuk kadar kelahiran yang menurun.

"Stok yang ada akan terus dijual di Jepun sehingga kehabisan stok.

"Oji Holdings akan meningkatkan pengeluaran barangan kebersihan untuk orang dewasa di negara ini dengan kita menjangkakan penggunaannya terutama di kemudahan seperti rumah penjagaan," kata jurucakap syarikat itu kepada AFP.

Pada 25 Mac lalu, syarikat itu berkata, Jepun mempunyai penduduk tertua di dunia selepas Monaco, dan pasaran untuk lampin dewasa dijangka berkembang di dalam negara.

Oji Holdings, yang juga membuat produk kertas lain berkata, pihaknya bagaimanapun akan mengekalkan dan meluaskan pengeluaran dan jualan lampin bayi di luar negara termasuk di Indonesia dan Malaysia susulan jangkaan pertumbuhan di dua negara itu.

Bilangan kelahiran di Jepun menurun ke paras terendah baharu pada 2023.

Berdasarkan data dikeluarkan pada Februari lalu, kelahiran di Jepun pada 2023 turun untuk tahun kelapan berturut-turut kepada 758,631, penurunan sebanyak 5.1 peratus dengan 1,590,503. kematian.

Perdana Menteri Fumio Kishida berikrar memberi bantuan kewangan untuk keluarga, akses penjagaan anak yang lebih mudah dan lebih banyak cuti ibu bapa untuk cuba meningkatkan kadar kelahiran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2024 @ 10:50 AM