FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Kadar kesuburan jumlah (TFR) 2022 di Malaysia merekodkan penurunan dengan 1.6 anak bagi setiap perempuan berusia 15 hingga 49 tahun berbanding 1.7 anak pada 2021.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kadar kesuburan itu merupakan yang terendah sejak lima dekad lalu dengan 4.9 anak bagi setiap perempuan pada 1970.

Menurutnya, sejak 1970 hingga 2012, TFR negara direkodkan di atas paras penggantian iaitu 2.1 anak yang menunjukkan purata bilangan anak dilahirkan oleh seorang perempuan sepanjang tempoh kesuburannya mencukupi untuk menggantikan dirinya dan pasangannya.

"Bagaimanapun, TFR mula menurun di bawah paras penggantian bermula 2013 hingga kini.

"Trend penurunan kadar kesuburan ini berpotensi akan mengakibatkan berlaku krisis demografi seperti penyusutan pertumbuhan penduduk, penuaan penduduk, kesan terhadap ekonomi dan sosial," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, TFR tertinggi dicatatkan oleh bangsa Melayu iaitu 2.1 anak bagi setiap perempuan berumur 15 hingga 49 tahun pada 2022, manakala Cina merekodkan TFR terendah iaitu 0.8 anak.

Dalam pada itu katanya, semua negeri merekodkan TFR di bawah paras penggantian kecuali tiga negeri iaitu Terengganu dengan 2.9 anak, Kelantan (2.7 anak) dan Pahang (2.1 anak).

Menurutnya, Malaysia bersama beberapa negara seperti Amerika Syarikat mencatatkan 1.7 anak, Australia (1.7 anak), United Kingdom (1.6 anak), Jepun (1.3 anak) dan Korea Selatan (0.8 anak), menunjukkan trend kadar kesuburan menurun di bawah paras penggantian.

"Trend yang sama dapat diperhatikan di negara Asean lain seperti Vietnam (1.9 anak), Brunei (1.8 anak), Thailand (1.3 anak) dan Singapura (1.1) anak," katanya.

Sementara itu katanya, kelahiran hidup direkodkan pada 2022 adalah seramai 423,124 kelahiran iaitu menurun 3.8 peratus (16,620 kelahiran) berbanding 439,774 kelahiran pada 2021.

"Bayi lelaki yang dilahirkan melebihi bayi perempuan direkodkan iaitu masing-masing 218,345 dan 204,779.

"Penurunan bilangan kelahiran ini menyebabkan kadar kelahiran kasar (CBR) menurun daripada 13.5 kelahiran pada 2021 kepada 12.9 kelahiran bagi setiap 1,000 penduduk pada 2022," katanya.

Mohd Uzir berkata, semua negeri merekodkan penurunan CBR pada 2022 berbanding 2021 kecuali Sabah yang menunjukkan peningkatan daripada 12.2 (2021) kelahiran kepada 12.8 (2022) kelahiran bagi setiap 1,000 penduduk.

"CBR tertinggi pada 2022 direkodkan di Song, Sarawak dan Kuala Terengganu, Terengganu dengan kedua-dua daerah terbabit merekodkan 24.3 kelahiran bagi setiap 1,000 penduduk.

"Daerah Kinabatangan, Sabah merekodkan kadar terendah iaitu 4.6 kelahiran," katanya.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata, kadar kematian yang direkodkan pada 2022 pula adalah 206,525 kematian, menurun 8.0 peratus (18,044 kematian) berbanding 224,569 pada 2021, iaitu selepas pandemik Covid-19.

Menurutnya, kadar kematian kasar (CDR) turut merekodkan penurunan daripada 6.9 (2021) kepada 6.3 (2022) kematian bagi setiap 1,000 penduduk.

"Bilangan kematian lelaki pada 2022 adalah 117,790 atau 57.0 peratus daripada jumlah kematian, manakala bilangan kematian perempuan adalah 88,735 (43 peratus)," katanya.

Beliau berkata, kebanyakan negeri merekodkan penurunan CDR pada 2022 berbanding 2021 kecuali Perlis, Pahang, Perak dan Terengganu.

"Kuala Lumpur merekodkan penurunan kadar tertinggi dengan 1.7 mata iaitu daripada 6.8 (2021) kematian kepada 5.1 (2022) kematian bagi setiap 1,000 penduduk," katanya.

Menurutnya, di peringkat daerah pentadbiran, Kanowit dan Song, Sarawak kedua-duanya merekodkan CDR tertinggi pada 2022 iaitu 14.3 kematian bagi setiap 1,000 penduduk diikuti Bukit Mabong, Sarawak (13.0), Selama, Perak (12.2) dan Maradong, Sarawak (12.0).

"Daerah Kinabatangan di Sabah mencatatkan CDR terendah iaitu 1.9 kematian bagi setiap 1,000 penduduk diikuti Kalabakan, Sabah (2.0) dan Samarahan, Sarawak (2.4)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2023 @ 4:07 PM