FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Agensi

Tokyo: Kadar populasi kanak-kanak di Jepun menurun buat tahun ke-41 berturut-turut, antaranya disebabkan keengganan wanita negara itu untuk mengandung berikutan bimbang wabak Covid-19.

Data kerajaan yang dikeluarkan kementerian dalam negeri pada Rabu menunjukkan jumlah kanak-kanak 14 tahun dan ke bawah termasuk rakyat asing adalah seramai 14.65 juta pada 1 April lalu.

Angka itu turun 250,000 berbanding tahun sebelumnya, malah jumlah terendah sejak 1950 apabila pengumpulan data mula tersedia.

Nisbah keseluruhan penduduk kanak-kanak Jepun juga jatuh ke paras terendah 11.7 peratus, turun 0.1 peratus berbanding sebelumnya, malah ia kemerosotan untuk tahun ke-48 berturut-turut.

Menurut Buku Tahunan Demografi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Jepun mempunyai nisbah paling rendah antara 35 negara dengan populasi lebih 40 juta orang, di bawah Itali 12.9 peratus dan Korea Selatan 11.9 peratus.

Mengikut data kerajaan lagi, kanak-kanak lelaki menyumbang 7.51 juta daripada kadar itu, manakala perempuan 7.15 juta.

Terdapat 3.23 juta kanak-kanak antara 12 dan 14 tahun, berbanding 2.51 juta yang berumur hingga dua tahun, yang memberi gambaran bilangan menurun apabila menginjak remaja.

Buat pertama kalinya sejak 1999, semua 47 wilayah di Jepun mencatatkan penurunan populasi kanak-kanak setakat 1 Oktober 2021.

Wilayah selatan Okinawa mempunyai nisbah kanak-kanak tertinggi iaitu 16.5 peratus, manakala Akita di timur laut Jepun mencatatkan kadar terendah pada 9.5 peratus.

Kemuncak populasi kanak-kanak negara itu adalah pada tahun 1954 dengan 29.89 juta orang dan jumlah meningkat sehingga awal 70-an, sebelum mengalami penurunan berterusan bermula 1982.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mei 2022 @ 7:00 AM