RICHARD Marles. FOTO AFP
RICHARD Marles. FOTO AFP
AFP

Sydney: Australia, pada Ahad, menuduh tentera China meletakkan kru penerbangan Angkatan Pertahanan Australia dalam risiko apabila pesawat mereka dipintas, lewat bulan lalu, di Laut China Selatan.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Richard Marles mendedahkan sebuah pesawat pejuang China pada 26 Mei memintas sebuah kapal pemantau P-8 Australia dan melepaskan suar sebelum ia memecut dan memotong di hadapan pesawat berkenaan.

"Jelas sekali, ini sangat berbahaya," kata Marles dalam satu kenyataan media, pada Ahad.

Menurut Marles, anak kapal itu tidak cedera dan dapat kembali ke pangkalan, namun Australia menyampaikan kebimbangannya kepada Beijing.

Sementara itu, Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese berkata adalah sesuatu yang tidak luar biasa bagi negaranya untuk melakukan pengawasan di Laut China Selatan.

Albanese berkata Australia sudah bertindak mengikut undang-undang antarabangsa, menggunakan hak kebebasan navigasi dan penerbangan di perairan antarabangsa dan ruang udara.

Insiden itu berlaku hanya tiga bulan selepas Australia menuduh tentera China menghalakan laser gred tentera di salah satu pesawat pertahanan negara itu di perairan utara Australia.

Bekas pemerintah Australia melabelkan insiden itu sebagai ugutan dan berisiko membahayakan nyawa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Jun 2022 @ 10:53 AM