KAPAL pengangkut pesawat milik tentera Amerika Syarikat, USS Theodore Roosevelt. - Agensi
KAPAL pengangkut pesawat milik tentera Amerika Syarikat, USS Theodore Roosevelt. - Agensi
Agensi

BEIJING: Seorang laksamana Tentera Laut China, Luo Yuan memberi amaran bahawa tentera negaranya mampu menenggelam kapal perang tentera laut Amerika Syarikat (AS) termasuk kapal pengangkut pesawat.

Luo berkata, tindakan menenggelamkan kapal tentera laut AS itu akan menyelesaikan banyak pertikaian perairan di wilayah Laut China Selatan.

“Apa yang AS paling takuti adalah kehilangan anggota tenteranya,” katanya.

News Corp Australia Network melaporkan, Luo mengeluarkan komen itu dalam satu ucapan mengenai hubungan China dan AS pada 20 Disember lalu.

Luo menganggarkan, dengan menenggelamkan sebuah kapal pengangkut pesawat AS akan menyebabkan kira-kira 5,000 askar negara itu terbunuh.

“Tenggelamkan dua kapal seperti itu akan menjadikan jumlah kematian 10,000 orang.

“Kita akan lihat betapa takutnya AS nanti,” jelasnya.

Luo, 67, berpangkat laksamana muda di tentera laut China tetapi dia hanya memegang jawatan itu atas kapasiti akademik bukannya anggota aktif.

Dia juga adalah timbalan pengarah Akademi Sains Tentera China dan terkenal dengan komen yang membesar-besarkan kemampuan tentera negara itu dan kenyataan anti-AS.

Luo berkata, AS berada dalam keadaan mudah diserang dan pada masa akan datang China perlu menggunakan kekuatannya untuk menyerang musuh.

“Serang ketika musuh takut diserang dan ketika musuh lemah,” tegasnya.

China terbabit dalam pertikaian di Laut China Selatan selepas menuntut semua wilayah dan pulau di perairan berkenaan serta menuduh AS meningkatkan ketegangan dengan kehadiran tentera lautnya.

Brunei, Malaysia, Filipina, Vietnam dan beberapa negara lagi turut terbabit dalam pertikaian wilayah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 January 2019 @ 6:15 AM