SEBUAH pesawat pengintip P-8 Poseidon milik tentera AS.
SEBUAH pesawat pengintip P-8 Poseidon milik tentera AS.

Singapura: Tentera Amerika Syarikat (AS) buat pertama kalinya menempatkan sebuah pesawat pengintip P-8 Poseidon di republik ini, kata pegawai kedua-dua negara semalam.

Penempatan pesawat canggih itu dibuat ketika rantau ini tegang dengan isu pembinaan pulau oleh China di wilayah Laut China Selatan.

Pesawat itu dihantar semalam dan dijadual berada di Singapura hingga 14 Disember ini.

Singapura dan Washington menegaskan pentingnya kehadiran tentera AS di rantau berkenaan.

Setiausaha Pertahanan AS, Ashton Carter dan rakan sejawatnya dari Singapura, Ng Eng Hen dalam satu kenyataan bersama selepas satu pertemuan di Washington kelmarin menyambut baik penempatan pesawat berkenaan.

“Penghantaran pesawat ini bakal meningkatkan kerjasama dengan tentera serantau melalui pembabitan dalam latihan ketenteraan.

“Pesawat ini juga boleh digunakan untuk membantu usaha bantuan bencana dan keselamatan maritim,” kata kenyataan itu.

Pesawat P-8 adalah versi Boeing 737 yang diubah suai dan dilengkapi dengan sonar dan radar canggih untuk membuat intipan serta memburu kapal selam. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2015 @ 10:55 AM