KAPAL Montevideo Maru yang karam selepas terkena torpedo ketika Perang Dunia Kedua. FOTO AFP.
KAPAL Montevideo Maru yang karam selepas terkena torpedo ketika Perang Dunia Kedua. FOTO AFP.
Reuters

Sydney: Bangkai kapal dagang Jepun yang karam pada Perang Dunia Kedua (WWII) bersama 864 askar Australia di dalamnya, ditemui di Laut China Selatan.

Menteri Pertahanan Australia Richard Marles berkata, ia sekali gus mengakhiri babak tragik sejarah negara itu.

Marles berkata SS Montevideo Maru, kapal pengangkut tawanan perang dilapor hilang selepas tenggelam di luar pantai Filipina pada Julai 1942 dan ia ditemui di barat laut Pulau Luzon.

Kapal itu diserang dengan torpedo ketika dalam perjalanan dari wilayah yang kini dikenali Papua New Guinea ke Hainan, China oleh kapal selam Amerika Syarikat tanpa mengetahui mengenai tawanan perang di atas kapal.

Ia dianggap sebagai bencana maritim terburuk di Australia, dengan penemuan yang sangat dinanti itu tiba menjelang Hari Anzac yang disambut Australia dan New Zealand pada 25 April bagi memperingati tentera mereka terkorban dalam semua konflik.

"Ini mengakhiri bahagian paling traqik dalam sejarah maritim Australia," kata Marles dalam mesej video.

Pencarian bangkai yang ditemui di kedalaman lebih 4,000 meter diketuai arkeologi maritim bukan kerajaan dan pakar tinjauan laut dalam serta disokong jabatan pertahanan Australia.

"Ketiadaan lokasi karam Montevideo Maru mewakili urusan yang belum selesai buat keluarga mangsa yang kehilangan nyawa orang tersayang," kata Marles.

Lebih 1,000 lelaki tahanan perang dan orang awam dari pelbagai negara dipercayai maut dalam tragedi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 April 2023 @ 12:51 PM