Gambar hiasan. FOTO NSTP
Gambar hiasan. FOTO NSTP
Agensi

Bangkok: Kira-kira 80,000 anggota polis Thailand dikerah bertugas sepanjang sambutan Songkran, festival tahun baharu Thailand, khususnya dalam kawalan lalu lintas dan mengurangkan kemalangan jalan raya serta jenayah.

Timbalan Ketua Polis Jeneral Damrongsak Kittiprapas berkata pada Jumaat, pihaknya turut membuka pusat kawalan mencegah kemalangan ketika Songkran yang beroperasi pada 10 April hingga 18 April.

"Penekanan khusus semasa "tujuh hari maut" tahunan, yang tahun ini pada 12 hingga 18 April," katanya.

Menurutnya lagi, daripada jumlah berkenaan, 18,371 anggota akan menguatkuasakan undang-undang dan peraturan jalan raya, 12,139 anggota akan melakukan pemeriksaan alkohol dan 9,670 akan membentuk pasukan gerak pantas untuk tindak balas kecemasan terhadap kemalangan.

Sementara baki keanggotaan akan menjalankan kerja rondaan, siasatan, pentadbiran, mengekang jenayah dan perkhidmatan awam.

"Tidak akan ada hari cuti rehat," katanya yang memberitahu sasaran mereka adalah mengurangkan jumlah kemalangan di setiap wilayah, babit kematian dan kecederaan sekurang-kurangnya lima peratus, berbanding purata ketika Songkran tiga tahun lalu.

Bagi melancarkan trafik, jalan yang sedang dibaiki dan dalam pembinaan dibersihkan, sementara lori 10 tayar ke atas dilarang menggunakan beberapa jalan.

Kenderaan berat barang keperluan yang perlu bergerak perlu membuat permohonan menggunakan jalan.

Sejak 4 April lalu, 903 anggota peronda trafik sudah mengambil tindakan terhadap penunggang motosikal yang melanggar peraturan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2022 @ 3:21 PM