PASUKAN penyelamat mengeluarkan mangsa yang cedera selepas sebuah bas persiaran terbabas di daerah Phetchabun di Chiang Mai, semalam.
PASUKAN penyelamat mengeluarkan mangsa yang cedera selepas sebuah bas persiaran terbabas di daerah Phetchabun di Chiang Mai, semalam.
Agensi

Bangkok: Hari keempat daripada tempoh ‘Tujuh Hari Paling Bahaya’ ketika pesta Songkran pada tahun ini semalam, menyaksikan 259 orang maut dalam kemalangan jalan raya, meningkat hampir 36 peratus berbanding 2015.

Pusat keselamatan jalan raya Thai berkata, dalam tempoh itu seramai 2,378 orang cedera daripada 2,216 kemalangan di seluruh negara, meningkat 27.7 peratus berbanding tahun lalu.

Kelmarin sahaja, seramai 78 orang terbunuh dan 601 lagi cedera dalam 555 kemalangan.

Tempoh tujuh hari sepanjang pesta Songkran dianggap paling bahaya kerana sering mencatatkan jumlah kemalangan jalan raya yang tinggi setiap tahun.

Memandu dalam keadaan mabuk menjadi punca utama kemalangan iaitu 39.8 peratus diikuti dengan memandu laju, 32.1 peratus.

Kebanyakan kemalangan membabitkan motosikal iaitu 78.8 peratus diikuti dengan trak pikap, 10.8 peratus.

Sepanjang empat hari pesta Songkran, wilayah Chiang Mai mencatatkan jumlah kemalangan paling tinggi iaitu 100 dan juga jumlah kecederaan mencecah 104 orang.

Bangkok pula mencatatkan jumlah kematian paling tinggi iaitu 14.

Ketua Pengarah Jabatan Pencegahan Bencana dan Bantuan, Chatchai Promlert berkata, pusat keselamatan jalan raya diarahkan meningkatkan sekatan jalan raya.

“Pihak berkuasa diarah mengambil tindakan terhadap pengguna jalan raya yang didapati memandu laju, mabuk dan yang tidak memakai tali pinggang atau topi keledar untuk mengurangkan jumlah kematian.

“Lebih separuh mangsa yang maut dalam kemalangan jalan raya ini meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

Pihak berkuasa Thailand sebelum ini memperkenalkan hukuman khidmat masyarakat di rumah mayat bagi pengguna jalan raya yang didapati bersalah memandu dalam keadaan mabuk.

Hukuman berkenaan diharap mampu memberi kesedaran kepada pemandu mengenai bahaya memandu kenderaan dalam keadaan mabuk.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 April 2016 @ 5:03 AM