Lelaki warga Hong Kong dilihat menembak anggota polis menggunakan pistol air dan video kejadian dimuat naik di saluran YouTube Bravedogdog. FOTO Agensi
Lelaki warga Hong Kong dilihat menembak anggota polis menggunakan pistol air dan video kejadian dimuat naik di saluran YouTube Bravedogdog. FOTO Agensi
Agensi

Beijing: Padah menembak anggota polis menggunakan pistol air semasa pesta air Songkran, dua lelaki warga Hong Kong ditahan pihak berkuasa, pada Ahad.

BBC melaporkan, kedua-dua suspek berusia 20-an itu dipercayai menggunakan acara yang popular di negara Thailand itu sebagai menutup kelakuan mereka yang sengaja mensasarkan anggota berkuasa.

Menurut polis, kejadian berlaku di Kowloon City, sebuah daerah yang mempunyai ramai penduduk warga Thailand.

Media tempatan yang memetik sumber melaporkan, seorang daripada suspek itu mengendalikan saluran YouTube.

Sebuah video yang dimuat naik pada 10 April menunjukkan seorang lelaki berpakaian merah menggunakan pistol air menembak ke arah dua anggota polis dan wartawan TVB.

Difahamkan, lelaki itu berniat jahat apabila mensasarkan pihak berkuasa.

Sementara itu, Menteri Keselamatan, Chris Tang yang ditemui media pada Majlis Perundangan enggan mengulas mengenai kes itu.

Beliau berkata, sesetengah pihak menggunakan konsep secara 'lembut' untuk melahirkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan.

Mengikut tradisi semasa acara Songkran, air akan disimbah menggunakan baldi dan pistol air bagi 'menghalau' nasib malang.

Hong Kong menyaksikan kebebasan awam sejak Beijing menguatkuasa undang-undang keselamatan negara pada 2020 yang dilaksanakan bagi meredakan perbezaan pendapat dan melemahkan autonomi Hong Kong.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2023 @ 2:29 PM