Jeneral Damrongsak Kittiprapas. - FOTO Agensi
Jeneral Damrongsak Kittiprapas. - FOTO Agensi
BERNAMA

Bangkok: Polis Thailand menawarkan ganjaran sehingga 3,000 baht (RM376) kepada individu yang menyalurkan maklumat sahih berkaitan aktiviti lumba haram.

Timbalan ketua polis, Jeneral Damrongsak Kittiprapas berkata Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha telah mengarahkan pihak polis mengambil tindakan tegas terhadap pelumba haram yang mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.

Beliau berkata orang ramai digalakkan membuat laporan polis mengenai aktiviti tidak bermoral itu menerusi talian hotline 1599 atau 191 atau berkongsi video ke laman sosial Pusat Pencegahan Lumba Haram.

"Saya turut mengadakan pertemuan dengan polis wilayah bagi merangka rancangan pencegahan menangani aktiviti lumba haram yang dijangka meningkat ketika perayaan cuti Songkran pada April," katanya dipetik Bangkok Post.

Beliau menambah pihak berkuasa turut melatih kira-kira 18,000 belia untuk menjadi sukarelawan membanteras aktiviti itu di seluruh negara.

Mengikut statistik pada dua bulan pertama tahun ini, polis menahan 1,621 orang serta merampas 936 kenderaan dan 18,396 motosikal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2022 @ 5:45 PM