RUANG pameran milik Afghanistan di Ekspo Dunia di Dubai masih tidak dibuka kepada pengunjung. FOTO Agensi
RUANG pameran milik Afghanistan di Ekspo Dunia di Dubai masih tidak dibuka kepada pengunjung. FOTO Agensi
Agensi

Dubai: Pavilion Afghanistan di Ekspo Dubai 2020 masih belum dibuka kepada pengunjung walaupun ekspo berkenaan dibuka mulai Jumaat.

Memetik portal The Daily Tribune, Afghanistan antara kira-kira 200 negara yang mengambil bahagian dalam pameran antarabangsa yang berlangsung selama enam bulan itu.

Dubai yang diberikan penghormatan menjadi tuan rumah sebelum ini menangguhkan acara itu berikutan pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, apabila dibuka semalam, pavilion milik Afghanistan yang dikendalikan pemerintahan terdahulu masih belum siap dan ditutup kepada pengunjung.

Pengawal keselamatan yang mengawal selia bangunan tempat terletaknya pavilion itu berkata, tiada kerja-kerja persiapan dilakukan dalam minggu berkenaan.

Namun, tidak dijelaskan sama ada pavilion berkenaan akan dibuka lewat dalam pameran ekspo itu.

Khamis lalu, bendera negara berkenaan turut dikibarkan ketika majlis pelancaran ekspo itu.

Bagaimanapun, Taliban yang mengisytiharkan Afghanistan sebagai Emiriah Islam menggunakan bendera berbeza.

Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang menjadi sekutu rapat Amerika Syarikat turut menjemput bekas Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Oktober 2021 @ 10:10 AM