EKSPO Dubai 2020. FOTO AFP
EKSPO Dubai 2020. FOTO AFP
AFP

Abu Dhabi: Kira-kira 25 juta pengunjung dijangka mengunjungi Ekspo Dubai 2020, yang akan membuka tirainya Khamis.

Jangkaan itu adalah untuk tempoh enam bulan acara itu berlangsung.

Ekspo dunia pertama diadakan di Crystal Palace, London pada tahun 1851, dan kemudiannya Menara Eiffel di Paris pada 1889.

Ini adalah pertama kali ekspo itu diadakan di Timur Tengah dan ia acara kedua terbesar pernah diadakan ketika pandemik Covid-19 selepas Olimpik Tokyo, baru-baru ini.

Ekspo yang sepatunya berlangsung tahun lalu itu sebelum ini terpaksa ditangguhkan akibat Covid-19.

Ia akan dirasmikan Khamis ini dengan acara pembukaan dihadiri tetamu kenamaan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Acara itu akan menampilkan keajaiban seni bina dan inovasi teknologi hasil kepintaran lebih 190 negara.

Bagaimanapun, penganjur menetapkan prosedur operasi standard (SOP) seperti pemakaian pelitup muka dan pematuhan penjarakan fizikal.

Pengunjung juga mengemukakan bukti sudah divaksin atau keputusan negatif ujian PCR.

UAE dengan populasi 10 juta orang merekodkan kes Covid-19 yang berkurangan mendadak dalam beberapa minggu kebelakangan.

Angka kes dicatatkan bawah 300, pada Ahad lalu.

Pemerintah Dubai Sheikh Mohammed bin Rashid Al-Maktoum yakin pameran itu akan menjanjikan "ekspo paling luar biasa dalam sejarah".

Pameran itu adalah satu lagi pencapaian di Dubai yang berusaha mendapatkan pengiktirafan seperti rekod bangunan tertinggi di dunia, Burj Khalifa, dengan ketinggian 828 meter. -AFP

Media tempatan melaporkan, ekspo berkenaan mendapat perhatian dunia dan UAE berada pada landasan tepat untuk menjayakannya.

Penangguhan acara antarabangsa itu sebelum ini memberi kelebihan kepada negara itu yang menyambut ulang tahun ke-50 pada 2 Disember depan.

Ekspo itu dibuka untuk pengunjung bermula Jumaat. -AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 6:50 AM