DATUK Seri Sulaiman Md Ali (tengah) pada sidang media sempena Pra Pelancaran Melaka Week @EXPO Dubai 2020, di Seri Negeri, hari ini. FOTO Amir Mamat
DATUK Seri Sulaiman Md Ali (tengah) pada sidang media sempena Pra Pelancaran Melaka Week @EXPO Dubai 2020, di Seri Negeri, hari ini. FOTO Amir Mamat
Amir Mamat


Ayer Keroh: Kerajaan Melaka menyasarkan pencapaian untuk menarik pelaburan ke negeri itu sebanyak RM500 juta sepanjang tempoh penyertaannya ke EXPO Dubai 2020 bermula 13 hingga 19 Mac ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, berkata sasaran itu sejajar dengan beberapa pengisian program yang sudah disusun sepanjang Minggu Melaka pada expo yang bertemakan Memperkasa Kemampanan itu.

Beliau berkata, sebanyak lima acara menandatangani memorandum persefahaman (MoU), lapan forum serta lebih 30 padanan perniagaan akan berlangsung sepanjang penyertaan Melaka pada expo berkenaan.

"Kita juga dijangka mengadakan lawatan ke beberapa Pavilion negara lain seperti Pavilion Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Amerika Syarikat dan Sweden.

"Serentak itu, kita juga akan mengadakan perbincangan dan lawatan ke Sharjah Research Technology and Innovation Park, Dubai Global Village Management dan beberapa syarikat terkemuka di UAE," katanya pada sidang media sempena pra pelancaran Melaka Week @EXPO Dubai 2020, di Seri Negeri di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari dan EXCO Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Koperasi dan Usahawan negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Sulaiman berkata, Melaka adalah antara negeri yang diberikan slot khas oleh Kementerian Sains dan Teknologi (MOSTI) pada minggu keempat, selain Pulau Pinang, Johor, Pahang, Sabah dan Selangor.

Katanya, untuk tujuan terbabit, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dilantik sebagai urusetia utama expo dan dibantu Invest Melaka serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) selaku urusetia bersama.

"Pengisian program Dubai EXPO 2020 Melaka Week adalah berasaskan kepada visi Melaka Menuju Negeri Lestari iaitu pameran konsep Melaka Rumahku: Menuju Negeri Lestari dengan mempamerkan Pelan Pembangunan Hala Tuju Melaka Lestari (Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035).

"Ia selaras dengan 17 Matlamat Pembangunan Lestari yang berasaskan lima misi iaitu Teknologi, Entrepreneurship, Revolusi Industri dan Ekonomi, Antarabangsa, serta Sejahtera (TERAS)," katanya.

Mengulas lanjut, katanya, antara perkara yang akan diketengahkan kerajaan negeri sempena expo itu adalah inisiatif pelaksanaan Zon Ekonomi Melaka Waterfront (M-WEZ), selain sektor industri, pelabuhan antarabangsa, pelancongan, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Melaka Pintar dan Inisiatif Hijau, pertanian dan bioteknologi serta pengurusan sumber air.

"Sebanyak 11 agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan

menyertai delegasi Melaka ke EXPO Dubai 2020 antaranya Invest Melaka, MIDA, Perbadanan M-WEZ, Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM), Tourism Melaka, Badan Kawal Selia Air (BKSA), Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM), Perbadanan Bioteknologi Melaka, Kumpulan Melaka Berhad, Jabatan Pertanian Melaka dan Melaka ICT Holdings Sdn Bhd.

"Sebanyak 16 syarikat PKS juga akan sertai bagi mempromosikan produk keluaran Melaka di sana kelak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Februari 2022 @ 5:20 PM