Perusuh berlari daripada pihak berkuasa di bandar Yangon. FOTO AFP
Perusuh berlari daripada pihak berkuasa di bandar Yangon. FOTO AFP
AFP

Yangon: Seorang wartawan yang bertugas dengan BBC Myanmar dilaporkan 'hilang' hari ini.

Wartawan berkenaan, Aung Thura dilaporkan dibawa oleh lelaki tidak dikenali sekitar tengah hari tadi dan BBC sedang berusaha untuk mengesannya.

"Kami sudah menghubungi pihak berkuasa untuk membantu mengesan kedudukannya dan akan pastikan dia selamat," kata penyiar Britain itu.

Media tempatan, Mizzima turut mendakwa seorang wartawannya, Than Htike Aung 'ditahan' di Naypyidaw.

Kedua-dua wartawan itu berada di lokasi sama ketika mereka dibawa oleh pihak tidak dikenali.

Junta tentera juga mengganggu syarikat akhbar negara itu, membatalkan lesen lima perkhidmatan penyiaran bebas tempatan, menyerbu bilik berita, dan menangkap wartawan yang bekerja untuk membuat liputan berita.

Sejak peralihan kuasa berlaku, lebih 30 wartawan ditahan, menurut kumpulan pemantauan Persatuan Bantuan Tahanan Politik.

Antara yang ditahan adalah jurugambar, Thein Zaw yang bertugas dengan Associated Press (AP) yang ditahan atas dakwaan 'menyebabkan ketakutan, menyebarkan berita palsu dan mengganggu pegawai kerajaan secara langsung atau tidak langsung'.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mac 2021 @ 9:21 PM