AUNG San Suu Kyi. Foto AFP
AUNG San Suu Kyi. Foto AFP
AFP

Yangon: Mahkamah Junta menangguhkan keputusan pemimpin Myanmar yang digulingkan, Aung San Suu Kyi hari ini bagi pertuduhan mengimport dan memiliki walkie-talkie secara haram yang dihadapinya.

Suu Kyi, 76, sepatutnya mendengar keputusan atas pertuduhan itu iaitu yang terbaru dalam katalog penghakiman di mahkamah junta yang boleh menyebabkan dia dipenjarakan sepanjang hayatnya.

Bagaimanapun mahkamah menangguhkan kes itu sehingga 27 Disember tanpa penjelasan, kata sumber memberitahu AFP.

Pada awal bulan, Suu Kyi dikenakan hukuman penjara empat tahun kerana mengeluarkan kenyataan hasutan terhadap tentera dan melanggar peraturan Covid-19.

Ketua Junta Min Aung Hlaing kemudiannya menukar tempoh itu kepada dua tahun dan Suu Kyi akan menjalani hukuman sebagai tahanah rumah di Naypyidaw.

Suu Kyi berdepan hukuman penjara tiga tahun jika didapati bersalah atas tuduhan memiliki walkie-talkie yang ditemukan ketika rampasan kuasa dan tentera serta polis menyerbu rumahnya menemukan dia memiliki peralatan seludup.

Ketika pemeriksaan balas di mahkamah, anggota serbuan mengaku mereka tidak memiliki waran geledah untuk serbuan itu.

Suu Kyi juga didakwa dengan pelbagai pertuduhan rasuah - setiap satunya boleh dihukum penjara 15 tahun - dan melanggar akta rahsia rasmi.

Wartawan telah dihalang daripada menghadiri perbicaraan mahkamah khas di Naypyidaw dan peguamnya baru-baru ini dilarang bercakap kepada media.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Disember 2021 @ 4:53 PM