ABU bakar dalam kenderaan yang membawanya keluar dari Penjara Gunung Sindur, pagi hari ini. FOTO Tribunnews.com.
ABU bakar dalam kenderaan yang membawanya keluar dari Penjara Gunung Sindur, pagi hari ini. FOTO Tribunnews.com.
Agensi

Jakarta: Ulama radikal Indonesia, Abu Bakar Bashir yang dibebaskan dari penjara Gunung Sindur di Jawa Barat, hari ini hanya dijemput lapan ahli keluarga, kenalan dan peguam sebelum dibawa pulang ke Jawa Tengah.

Malah anggota keluarganya turut meminta masyarakat supaya tidak berkumpul atau menyambut kepulangan Abu Bakar, 82, di Pondok Al-Mukmin, Ngruki di Sukoharjo, Jawa Tengah berikutan kebimbangan pandemik Covid-19.

"Tiada sebarang acara atau sambutan akan dibuat di Pondok Al-Mukmin kerana dalam situasi pandemik ketika ini," kata anak Abu Bakar, Abdul Rochim Bashir seperti dilapor Kompas.

Menurut pemuda dikenali Iim itu, bapanya yang dikaitkan dengan insiden pengeboman di Bali pada 2002, akan menghabiskan sisa hidupnya di sekolah pondok berkenaan yang diasaskan pada 1972.

Katanya, Abu Bakar juga akan meneruskan dakwahnya di kediaman mereka dan mengurangkan aktiviti di luar.

"Yang pasti lebih banyak masa di rumah, kurang aktiviti di luar kerana fizikalnya yang sudah lemah, bapa sudah tua," katanya.

Abu Bakar dipenjarakan pada 2011 selepas didapati bersalah terbabit dalam kem latihan militan di wilayah Aceh.

Sebelum ini, media melaporkan hukuman penjara selama 15 tahun dihadapi pemimpin tertinggi Jemaah Islamiah itu dikurangkan 55 bulan, termasuk mengambil kira faktor kesihatannya.

Dalam pada itu, Ketua Penjara, Mujiarto berkata, Abu Bakar berkelakuan baik sepanjang dalam tahanan dan banyak menghabiskan masa dengan beribadat dan menulis.

"Pada usia yang sudah lanjut itu, dia masih rajin menulis. Beribadat juga rajin. Dia sentiasa memberi kerjasama, aktif mengikuti aktiviti dianjurkan dan berkelakuan baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2021 @ 11:52 AM