ABU Bakar.
ABU Bakar.
Mohd Azam Shah Yaacob


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) memantau rapi isu pembebasan ulama radikal Indonesia, Abu Bakar Bashir yang dijangka akan dibebaskan dengan pelepasan bersyarat.

Abu Bakar, 80, yang memimpin kumpulan militan Jemaah Islamiah (JI) dihukum 15 tahun penjara selepas ditahan pada tahun 2011.

Beliau juga dipercayai menjadi perancangan utama serangan bom di Bali pada tahun 2002.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pemantauan itu perlu bagi memastikan beliau tidak terbabit merekrut dan menghidupkan kembali perjuangan kumpulan militan yang sebelum ini mempunyai rangkaian di negara ini sebaik dibebaskan.

“Kita perlu pantau dan pihak Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman sedang berhubung dengan pihak Polis Indonesia (POLRI).

“Ia bagi memastikan pembebasan Abu Bakar kelak tidak menimbulkan masalah baru dalam usaha menghidupkan gerakan JI dengan elemen radikal dan ekstrem," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Serah Terima Tugas, Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis dan Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara di PULAPOL, Kuala Lumpur, hari ini.

Sebelum ini, Presiden Indonesia, Joko Widodo bersetuju untuk membebaskan Abu Bakar atas alasan kemanusiaan.

Namun, pada 22 Januari lalu, Kerajaan Indonesia mengumumkan akan mengkaji semula keputusan berkenaan susulan berikutan domestik dan antarabangsa.

Abu Bakar sebelum ini dianggap tidak memenuhi syarat untuk pembebasan parol berikutan keengganan untuk meninggalkan kepercayaan radikal.

Sementara itu, dalam majlis berkenaan, Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) baharu, manakala Ketua Polis Kedah, Datuk Abdul Rahim Jaafar dilantik sebagai Pengarah Pengurusan berkuat kuasa hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 January 2019 @ 1:57 PM