Raja Noraina Raja Rahim


Port Dickson: Empat lelaki warga Filipina dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas kesalahan memiliki Mykad palsu.

Keputusan itu dibuat Majistret Siti Khairiah Abdul Razak selepas semua tertuduh, Muhammad Ontoh, 30; Sajid Abtuh, 25; Almen Abu Bakar, 35 dan Mukmin Andod, 25, mengaku salah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa secara berasingan.

Mengikut pertuduhan, Muhammad didakwa memiliki Mykad palsu atas nama Mohd Faizal Juhandi, Sajid (Riba Jiul), Almen (Mohammad Sharulnizam Raibould) manakala Mukmin (Rahmat Abdul Jalil).

Kesalahan itu dikesan dalam operasi bersepadu yang dijalankan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen Malaysia dan polis di Taman PD Utama, antara 6 hingga 6.20 petang, 9 September lalu.

Berikutan itu, keempat-empat tertuduh didakwa mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun, denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dilakukan Pegawai Pendakwa JPN Negeri Sembilan, Shah Amirul Gautamaruban dan Mohd Hafiz Wan Ismail manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2016 @ 2:09 PM