AMERICAN Airlines. FOTO AFP.
AMERICAN Airlines. FOTO AFP.
Agensi

Washington: Tiga lelaki kulit hitam menyaman syarikat penerbangan American Airlines (American) selepas mendakwa menjadi mangsa diskriminasi perkauman apabila dihalau keluar daripada pesawat.

Menurut CNN, Alvin Jackson, Emmanuel Jean-Joseph dan Xavier Veals bersama lima lagi penumpang lelaki kulit hitam dikeluarkan daripada penerbangan itu kerana aduan bau badan.

Laporan menyebut insiden itu berlaku ketika penerbangan dari Phoenix ke lapangan terbang JFK di New York pada 5 Januari lalu.

Menerusi saman difailkan, mereka mengatakan telah diarah keluar 'tanpa alasan kukuh, sebaliknya berdasarkan kaum sahaja' ketika didekati kru penerbangan sebelum kapal terbang berlepas.

"Apabila berada di 'jet bridge', mereka melihat beberapa lagi lelaki kulit hitam turut dikeluarkan daripada pesawat.

"Ia ternyata bagi plaintif yang American mengarahkan semua penumpang lelaki kulit hitam dalam Penerbangan 832 untuk meninggalkan pesawat," menurut saman itu.

Semua plaintif kemudian dimaklumkan mengenai aduan bau badan yang diterima dalam penerbangan itu tetapi tidak pernah ditegur secara peribadi.

"Bahkan tiada seorang pun daripada plaintif yang mempunyai masalah bau badan teruk," menurut saman itu lagi.

Dua daripada plaintif memberitahu NBC News yang mereka berasa terasing kerana berkulit hitam.

"Dikumpulkan dan dikeluarkan (daripada pesawat) telah cetuskan semua perkara yang saya tidak terfikir akan berlaku kepada orang kulit hitam lagi," kata Jean-Joseph, 27.

Menurutnya lagi, pihak penerbangan itu memperlihatkan mereka seperti penjenayah apabila melalui lorong keluar pesawat dan pandangan itu masih memberi kesan dan menghantuinya.

Dalam kenyataan dikeluarkan, American Airlines berkata, menyiasat insiden itu dan memaklumkan "dakwaan berkenaan tidak mencerminkan nilai teras atau matlamat kami dalam menjaga penumpang."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2024 @ 1:46 PM