AMIR Khan. FOTO AFP
AMIR Khan. FOTO AFP
Agensi

Washington: Peninju Britain, Amir Khan dikeluarkan dari sebuah pesawat di Amerika Syarikat (AS) kerana didakwa gagal mematuhi peraturan berhubung penggunaan pelitup muka.

BBC News melaporkan, Amir, 34, mendakwa dia bersama seorang lagi rakannya diturunkan dari pesawat American Airlines oleh polis kerana ada seseorang mengadu bahawa pelitup muka dipakai rakannya, 'tidak cukup tinggi'.

Syarikat penerbangan itu menyatakan penerbangan dari Lapangan Terbang Newark ke Dallas, kembali ke pintu pelepasan selepas dua penumpang dilaporkan enggan mematuhi permintaan anak kapal.

Bagaimanapun, syarikat terbabit menafikan adanya campur tangan polis.

Dalam sebuah video yang disiarkan di Twitter, Amir memberitahu dia mahu ke kem latihan di Colorado selepas tinggal di New York.

"Saya diturunkan dari pesawat oleh polis ketika mahu ke kem latihan ke Colorado Springs.

"Jelasnya, ada rungutan oleh kakitangan American Airlines yang mengatakan pelitup muka dipakai rakan saya 'tidak cukup tinggi'. Seterusnya, saya dan rakan dibawa keluar.

"Kini, saya harus menyusun atur semula jadual pesawat lain untuk kembali ke kem latihan yang benar-benar mengecewakan. Saya sangat kesal dengan tindakan American Airlines melarang saya meneruskan penerbangan," ciapnya.

American Airlines dalam satu kenyataan memaklumkan pesawat itu berpatah balik ke pintu pelepasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Newark Liberty dekat New Jersey.

Ia selepas dua penumpang dilaporkan enggan mematuhi permintaan kru pesawat yang berulang kali meminta untuk menyimpan bagasi, meletakkan telefon bimbit dalam mod kapal terbang dan mematuhi peraturan pemakaian pelitup muka.

Menurut syarikat itu, kehadiran polis selepas pesawat berpatah balik ke pintu pelepasan adalah prosedur standard.

Amir dan rakannya juga tidak disenarai hitam daripada menaiki pesawat syarikat penerbangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 September 2021 @ 10:34 AM