Ganesan menunjukkan dokumen saman dikemukakan 76 waris kepada 32 penumpang pesawat MH370 terhadap MAS, semalam.
Ganesan menunjukkan dokumen saman dikemukakan 76 waris kepada 32 penumpang pesawat MH370 terhadap MAS, semalam.

Kuala Lumpur: Seramai 76 waris kepada 32 penumpang pesawat MH370 mengemukakan saman kecuaian menuntut ganti rugi terhadap Malaysian Airlines System Berhad (MAS) dan empat pihak lagi di Mahkamah Tinggi, di sini, berhubung kehilangan ahli keluarga mereka.

Mereka adalah dua warga Amerika, lapan India dan 66 China menamakan MAS, Malaysia Airlines Berhad (MAB), Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Mereka memfailkan saman itu melalui Tetuan Tommy Thomas di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi, di sini, pada Khamis lalu dan media memperoleh dokumen itu semalam melalui peguam N Ganesan.

Sementara itu, tiga lagi waris penumpang pesawat MH370 iaitu dua warga Iran dan seorang warga tempatan memfailkan saman sama melalui Tetuan Karpal Singh & Co semalam.

Saman itu berhubung kecuaian MAS dan defendan lain serta pelanggaran perjanjian penerbangan dan dakwaan konspirasi.

Plaintif mendakwa MAS bertanggungjawab untuk mengendali dan menguruskan supaya penerbangan pesawat MH370 selamat sampai ke destinasi.

Plaintif juga mendakwa kehilangan pesawat MH370 adalah disebabkan kecuaian DCA, TUDM dan kerajaan.

Selain itu mereka mendakwa semua defendan bersekongkol antara satu sama lain dalam menjalankan operasi dan siasatan sehingga gagal mengesan kehilangan MH370 dengan segera serta menyembunyikan maklumat daripada umum.

Plaintif mendakwa tindakan semua defendan menyebabkan mereka mengalami kerugian, kerosakan, kehilangan kasih sayang keluarga, kehilangan saraan kewangan dan kecederaan emosi dan trauma.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2016 @ 8:42 AM