Theresa
Theresa

San Diego (Amerika Syarikat): Seorang penyanyi hip hop yang juga orang kelainan upaya (OKU) menyaman American Airlines selepas mendakwa dipaksa turun dari kerusi rodanya dan merangkak ke tempat duduknya di dalam pesawat ketika penerbangan ke San Diego.

Theresa Purcell berkata, dia merasa terhina kerana terpaksa merangkak ke tempat duduk di hadapan puluhan penumpang sebelum penerbangan itu bertolak.

Dia mendakwa tidak dibenarkan menaiki kerusi roda kerana dia sudah terlambat untuk menaiki pesawat terbabit menyebabkan tanjakan tidak dapat dinaikkan.

Menurutnya, syarikat penerbangan yang berpangkalan di Fort Worth, Texas itu sudah memohon maaf, namun dia tetap mahu memfailkan saman AS$75,000 (RM283,162) bagi mengelakkan penumpang yang berkerusi roda menerima layanan yang sama sepertinya.

“Saya malu diperlakukan seperti itu,” katanya.

Dia yang menghidap penyakit tulang memberitahu, itu kali pertama dia menaiki pesawat American Airlines. Dia bersumpah untuk tidak menggunakan khidmat syarikat berkenaan lagi.

Theresa mendakwa sudah memaklumkan lebih awal kepada syarikat penerbangan itu bahawa dia memerlukan tanjakan bagi memudahkan masuk ke pesawat, namun terkejut apabila diberitahu mereka tidak akan menyediakan kemudahan itu biarpun terletak bersebelahan pesawat.

“Anda pasti tidak mahu ahli keluarga anda merangkak ke dalam pesawat seperti saya. Ini adalah Amerika. Perkara seperti ini sepatutnya ada jalan penyelesaian,” katanya.

Peguam Theresa sudahpun menghantar surat tuntutan pampasan kepada American Airlines, namun tuntutan itu dinafikan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2015 @ 8:21 AM