IMEJ di monitor menunjukkan gambar Tupac Shakur (kiri) dan Marion ‘Suge’ Knight Jr di dalam kereta di Las Vegas pada malam Tupac ditembak dalam sidang media oleh Jabatan Polis Metropolitan Las Vegas. FOTO Ethan Miller/Getty Images/AFP (Photo by Ethan Miller / Getty Images North America / Getty Images via AFP)
IMEJ di monitor menunjukkan gambar Tupac Shakur (kiri) dan Marion ‘Suge’ Knight Jr di dalam kereta di Las Vegas pada malam Tupac ditembak dalam sidang media oleh Jabatan Polis Metropolitan Las Vegas. FOTO Ethan Miller/Getty Images/AFP (Photo by Ethan Miller / Getty Images North America / Getty Images via AFP)
Agensi

Los Angeles: Seorang lelaki didakwa di Las Vegas kerana disyaki membunuh penyanyi rap ternama Hollywood, Tupac Shakur, 27 tahun lalu.

Bintang hip-hop itu, yang dianggap sebagai salah seorang penyanyi rap paling berpengaruh sepanjang zaman - ditembak mati di bandar Nevada pada September 1996.

SkyNews melaporkan, bagaimanapun, penembaknya tidak pernah dikenal pasti, dan kes itu mengecewakan pasukan penyiasat dan menarik perhatian orang ramai untuk mengetahuinya.

Pada Jumaat, Juri Besar Nevada mendakwa Duane 'Keffe D' Davis berusia 60 tahun atas tuduhan membunuh menggunakan senjata api.

Difahamkan, Davis ditahan pada pagi Jumaat di Henderson, sebelum didakwa di mahkamah.

Sheriff Jabatan Polis Metropolitan Las Vegas, Kevin McMahill, berkata keluarga Tupac menunggu 27 tahun untuk mendapatkan keadilan.

"Siasatan ini bermula pada 7 September 1996.

"Walaupun saya tahu ramai yang tidak percaya pembunuhan Tupac Shakur adalah penting untuk jabatan polis ini, namun saya ingin memaklumkan kes ini bukan mudah.

"Matlamat kami adalah menangkap mereka yang bertanggungjawab atas pembunuhan Tupac," katanya dalam sidang akhbar pada Jumaat.

DUANE ‘Keffe D’ Davis, didakwa membunuh Tupac Shakur pada 1996. FOTO Las Vegas Metropolitan Police Department/Handout via Reuters.
DUANE ‘Keffe D’ Davis, didakwa membunuh Tupac Shakur pada 1996. FOTO Las Vegas Metropolitan Police Department/Handout via Reuters.

Davis ialah bapa saudara kepada Orlando Anderson, salah seorang pesaing Tupac, yang sudah lama disyaki pihak berkuasa terbabit dalam kematian penyanyi rap itu.

Anderson terbabit dalam pergaduhan kasino yang membabitkan Tupac dan rakan-rakannya pada malam kematian bintang itu.

Bagaimanapun, Anderson menafikan terbabit dalam pembunuhan penyanyi rap berkenaan, dan lelaki itu meninggal dunia dua tahun kemudian dalam satu kejadian tembakan.

Leftenan Jason Johansson, dari Jabatan Polis Metropolitan Las Vegas, menggelar Davis sebagai 'ketua dan penembak ' kumpulan itu.

Beliau berkata, Davis merancang serangan itu sebagai 'pembalasan' atas insiden awal di kasino yang membabitkan Anderson.

"Tidak ada sesiapa yang tahu bahawa insiden inilah yang akhirnya membawa kepada pembunuhan Tupac Shakur," katanya.

Khabar angin yang tersebar dalam kalangan South Side Compton Crips mengenai apa yang berlaku di kasino mendorong Davis membuat rancangan mendapatkan senjata api dan membalas dendam atas apa yang berlaku terhadap Anderson, katanya.

Davis, yang ketika itu adalah ahli geng South Side Compton Crips, mengakui dalam temu bual sebelumnya dan dalam memoir 2019, "Compton Street Legend" bahawa dia berada di dalam kereta yang didakwa digunakan dalam serangan itu.

Tupac ditembak pada malam 7 September 1996, ketika di dalam BMW hitam dipandu oleh pengasas Death Row Records Marion 'Suge' Knight.

Mereka memandu ke kelab malam secara konvoi selepas menyaksikan pertarungan perebutan gelaran kelas berat dunia Mike Tyson dan Bruce Seldon di Las Vegas.

Mereka sedang menunggu lampu merah, satu blok dari Las Vegas Strip, apabila sebuah Cadillac putih berhenti di sebelah mereka dan melepaskan tembakan.

Tupac, yang ditembak beberapa kali, meninggal dunia pada 12 September ketika berusia 25 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2023 @ 11:29 AM