INSIDEN Cardi B membaling mikrofon ke arah penonton. FOTO Twitter
INSIDEN Cardi B membaling mikrofon ke arah penonton. FOTO Twitter
AFP

Los Angeles: Polis Amerika Syarikat (AS) memulakan siasatan terhadap insiden penyanyi rap, Cardi B membaling mikrofon ketika membuat persembahan konsert di Las Vegas, beberapa hari lalu.

Dalam rakaman video tular di media sosial, penyanyi itu bertindak sedemikian selepas seorang penonton konsert membaling minuman terhadapnya.

Video itu menunjukkan, penyanyi itu berundur selepas seorang individu yang hampir dengan pentas menyimbah air ke arahnya.

Dia berhenti seketika, sebelum melemparkan mikrofon kembali ke arah sama, ketika orang yang nampaknya membaling cecair itu meminta maaf dan kakitangan keselamatan campur tangan.

Bagaimanapun, beberapa video dalam talian menunjukkan, mikrofon turut terkena individu lain.

Jabatan Polis Metropolitan Las Vegas mengesahkan, seorang wanita menghubungi mereka untuk melaporkan kejadian itu.

"Menurut mangsa, dia menghadiri satu acara pada 29 Julai 2023 di lokasi terletak di blok 3500 Las Vegas Boulevard.

"Semasa konsert, dia terkena barang yang dilemparkan dari pentas," kata jabatan itu dalam satu kenyataan, semalam.

Jun lalu, seorang lelaki melemparkan telefon ke arah Bebe Rexha semasa konsert di New York, menyebabkan penyanyi itu terlantar di hospital.

Pada bulan sama, seorang penonton membaling beg yang kononnya mengandungi abu ibu mereka di pentas ketika penyanyi Pink membuat persembahan di London.

Disember lalu, vokalis Guns N' Roses, Axl Rose berjanji untuk berhenti melemparkan mikrofonnya ke arah penonton pada penghujung persembahan selepas seorang peminat dilaporkan cedera di Australia.

Tahun lalu, Harry Styles juga menghentikan sementara konsert New York selepas seseorang melemparkan nuget ayam ke arahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2023 @ 10:16 AM