CAMILA Roxana Martinez Mendoza. FOTO Agensi
CAMILA Roxana Martinez Mendoza. FOTO Agensi
Agensi

Mexico City: Mati hidup semula dan mati sekali lagi. Itu yang berlaku kepada seorang kanak-kanak perempuan tiga tahun yang dirawat di Hospital Komuniti Salinas de Hildalgo di negeri San Luis Potosi, di tengah Mexico.

Portal The Mirror melaporkan Camila Roxana Martinez Mendoza sudah diisytiharkan meninggal dunia selama 12 jam pada hari Rabu, 17 Ogos, akibat penyakit berkaitan perut, sebelum dia sedarkan diri semasa hari pengebumian.

Dia dibawa kembali ke hospital yang sama di mana dia kemudian meninggal dunia untuk kali kedua.

Ibu Camila, Mary Jane Mendoza berkata, anaknya dibawa ke hospital dari kampung halaman keluarga itu di Villa de Ramos, yang terletak di barat laut San Luis Potosi oleh pakar pediatrik kerana kanak-kanak berkenaan mengalami muntah-muntah, sakit perut serta demam.

"Camila pada mulanya dirawat kerana dehidrasi dan diberi parasetamol. Beberapa jam kemudian, kami menyedari keadaannya semakin teruk lalu dia dibawa ke hospital.

"Mereka menyambungkannya dengan titisan intravena dan mengambil masa kerana mereka tidak dapat mencari uratnya, akhirnya seorang jururawat berjaya. Camila juga mendapat bantuan oksigen.

"Dia mendapat rawatan antara jam 9 malam dan 10 malam sebelum disahkan meninggal dunia," katanya.

Mary kemudian menjelaskan bahawa dia dipisahkan daripada mayat anak perempuannya.

Keesokan harinya, semasa pengebumian anak perempuannya, ibu mentua Mary menyedari mata Camila bergerak-gerak.

Ahli keluarga melakukan pemeriksaan nadi terhadap Camila sebelum kanak-kanak itu disahkan masih hidup.

Camila kemudian dibawa semula ke hospital di mana kanak-kanak itu kemudian dia disahkan meninggal dunia buat kali kedua.

Menurut Peguam Negara, Jose Luis Ruiz, kes itu sedang disiasat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2022 @ 12:36 PM