FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

Jakarta: Gara-gara makan sate, seorang kanak-kanak lelaki maut dipercayai keracunan.

Tribunnews melaporkan, bapa kanak-kanak itu yang juga pemandu ojek (teksi motosikal) dalam talian menerima pesanan yang dibuat tanpa aplikasi daripada seorang wanita.

Polis kini sedang melakukan siasatan lanjut termasuk mencari wanita itu.

Kes itu bermula ketika pemandu ojek itu, Bandi dihampiri seorang wanita tidak dikenali ketika dia sedang berehat di sebuah masjid di bandar Jogjakarta.

Wanita itu meminta Bandi untuk menghantarkan bungkusan berisi sate ke rumah individu bernama Tomy di Kasihan, Bantul.

Namun wanita itu tidak menggunakan aplikasi dan mengaku tidak memilikinya.

"Sewaktu saya bersiap untuk bergerak, tiba-tiba ada perempuan menghampiri saya.

"Dia minta tolong hantarkan bungkusan ke daerah Kasihan.

"Saya beritahu pakai aplikasi tetapi wanita itu mendakwa tidak mempunyai aplikasi Ojol," katanya.

Katanya, dia kemudian menghantar pesanan itu khusus untuk Tomy dan memberitahu nama pengirim adalah Hamid.

Ketika Bandi menghantarkan bungkusan makanan itu ke alamat rumah itu, pemilik rumah mengatakan tidak mengenali pengirim bungkusan.

Pemilik rumah kemudian meminta Bandi untuk membawa bungkusan makanan itu sebagai makanan berbuka puasa.

Setibanya di rumah, Bandi kemudian memakan sate itu bersama dua anak dan isterinya.

Bagaimanapun, isteri Bandi dan seorang anaknya mendakwa sate itu berasa pahit.

Tidak berapa lama kemudian, kedua-duanya muntah dan tidak sedarkan diri.

Ketika dibawa ke hospital, anaknya disahkan sudah meninggal dunia.

Bandi berkata, berdasarkan pemeriksaan makmal racun yang terkandung dalam sate lebih kuat dari racun pertanian.

Sementara itu, jurucakap polis, Suyanto mengesahkan isteri dan anak kedua Bandi dipercayai keracunan memakan sate dengan kuah, manakala Bandi dan anak pertamanya makan sate tanpa kuah.

Ketika ini, polis tidak dapat memastikan apakah makanan itu mengandungi racun atau tidak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 April 2021 @ 10:25 AM