TANGKAP layar mesej bergambar yang mendakwa murid perempuan meninggal dunia akibat strok haba. FOTO Ihsan Pembaca.
TANGKAP layar mesej bergambar yang mendakwa murid perempuan meninggal dunia akibat strok haba. FOTO Ihsan Pembaca.
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Kematian murid perempuan tahun empat di sebuah sekolah rendah di Klang, dekat sini bukan disebabkan strok haba seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata, pihaknya menerima makluman mesej tular mengenai dakwaan murid perempuan meninggal dunia akibat strok haba pada 10 Mei lalu.

"Kejadian itu membabitkan seorang kanak-kanak perempuan yang mendapatkan rawatan di sebuah klinik kesihatan di daerah Klang.

"Siasatan mendapati, dia mengalami gejala sakit perut, muntah dan cirit birit selepas makan malam pada 8 Mei.

"Pada keesokannya (9 Mei), dia dibawa ke klinik dan hasil pemeriksaan mendapati kanak-kanak itu dalam keadaan kritikal dan didiagnos sebagai gastroenteritis akut dengan komplikasi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Sha'ari berkata, rawatan sewajarnya diberikan sebelum murid itu dirujuk ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.

"Namun, dia disahkan meninggal dunia pada 9 Mei dan tidak mengalami strok haba seperti yang ditularkan," katanya.

Justeru itu katanya, JKNS ingin mengingatkan kepada orang ramai agar tidak memandang ringan gejala cirit birit dan muntah yang dialami.

Menurutnya, gejala cirit birit dan muntah yang tidak terkawal berpotensi menyebabkan situasi dehidrasi (kekeringan), apatah ketika musim cuaca panas yang sedang melanda Malaysia ketika ini.

Terdahulu, tular di media sosial tangkap layar mesej bergambar seorang murid yang didakwa meninggal dunia akibat strok haba.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2023 @ 2:48 PM