GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Washington: Seorang pakar penyakit berjangkit Amerika Syarikat (AS) meminta China mendedahkan rekod perubatan tiga penyelidik yang mungkin memberikan petunjuk penting mengenai bagaimana asal usul Covid-19.

"Saya ingin melihat rekod perubatan tiga orang yang dilaporkan sakit pada 2019. Adakah mereka benar-benar sakit, dan jika ya, apa yang membuatkan mereka sakit?", kata Pengarah Institut Kebangsaan untuk Alergi dan Penyakit Berjangkit, Anthony Fauci dalam temubual bersama Financial Times yang diterbitkan, semalam.

Fauci berkata, rekod itu dapat membantu menentukan asal usul virus itu.

Dia juga meminta rekod enam pelombong yang sakit selepas memasuki gua kelawar tahun lalu, lapor Agensi Berita Anadolu.

"Sama juga dengan pelombong yang sakit tahun lalu ... Apa rekod perubatan mereka? Adakah terdapat virus pada mereka? Apakah ia?

"Tidak dapat disahkan asal usul Sars-Cov-2 ada di dalam gua itu dan mula menyebar secara semula jadi atau melalui makmal," katanya.

Perisikan AS meneruskan siasatan mereka terhadap laporan beberapa saintis di makmal Insititut Virologi Wuhan sebelum virus itu pertama kali dikesan di bandar Wuhan pada 8 Disember 2019. Minggu lalu, Presiden Joe Biden mengarahkan agensi perisikan untuk 'menggandakan usaha mereka' mencari asal usul virus itu.

"Saya meminta komuniti perisikan untuk melipat gandakan usaha mereka untuk mengumpulkan dan menganalisis maklumat yang dapat membawa kita lebih dekat ke kesimpulan yang pasti," katanya.

Bagaimanapun, Kerajaan China secara konsisten menolak tuduhan kebocoran makmal dan menuduh AS 'cuba mengalihkan perhatian'.

Sejak Disember 2019, lebih 172.2 juta kes dengan lebih 3.7 juta kematian dilaporkan di seluruh dunia, menurut laporan Universiti Johns Hopkins.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Jun 2021 @ 10:24 AM