INSTITUT Virologi Wuhan. FOTO AFP s
INSTITUT Virologi Wuhan. FOTO AFP s
Agensi

Beijing: China menyifatkan cadangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk mengaudit makmal sebagai sebahagian siasatan lanjut mengenai asal usul Covid-19 menunjukkan 'tindakan tidak hormat' dan 'angkuh terhadap sains'.

WHO pada Jumaat lalu berkata, tahap kedua siasatan antarabangsa harus merangkumi pengauditan makmal China, ketika tekanan daripada Amerika Syarikat (AS) meningkat untuk menjalankan siasatan ke atas Institut Virologi Wuhan dan menjelang lawatan Timbalan Setiausaha Negara AS, Wendy Sherman ke China.

Cadangan yang digariskan oleh Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus termasuk menjalankan 'audit ke atas makmal dan institusi penyelidikan relevan yang beroperasi di kawasan kes pertama dikesan terhadap manusia pada 2019' - merujuk kepada Wuhan di China.

Wakil Menteri Kesihatan China, Zeng Yixin pada sidang media pada Khamis berkata, beliau sangat terkejut dengan cadangan itu yang disifatkan 'tidak menghormati' dan 'angkuh terhadap sains'.

Sebelum ini, terdapat teori konspirasi bahawa virus itu berpunca kebocoran virus itu dari makmal.

Beijing sudah berulang kali menafikan bahawa kebarangkalian itu adalah sangat tidak mungkin, dengan memetik rumusan misi WHO-China ke Wuhan pada Januari lalu.

Yuan Zhiming, Pengarah Makmal Biokeselamatan Kebangsaan di Institut Virologi Wuhan menerusi sidang media pada Khamis berkata, 'tiada kebocoran patogen atau jangkitan kepada kakitangan berlaku' sejak makmal itu dibuka pada 2018.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 3:44 PM