PENCARIAN asal usul virus Covid-19 masih diteruskan.
PENCARIAN asal usul virus Covid-19 masih diteruskan.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) akan terus mendesak hingga jawapan berkaitan bagaimana pandemik Covid-19 bermula diperoleh, lapor CNA memetik laporan AFP pada Khamis.

Penting untuk merungkai misteri dari mana virus SARS CoV-2 berasal dan bagaimana virus itu mula tersebar dalam kalangan manusia.

Kajian dijalankan boleh digunakan untuk mencegah pandemik ini pada masa hadapan.

Bagaimanapun, laman web Nature melaporkan, WHO berputus asa dalam pencarian asal usul pandemik Covid-19 apabila berhadapan masalah kurang kerjasama daripada China pada penghujung 2019.

Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, pertubuhan itu akan terus mendesak sehingga memperoleh jawapannya.

"Adalah sangat penting mengetahui bagaimana wabak ini bermula. Saya sudah menghantar surat kepada pegawai tertinggi di China meminta supaya bekerjasama.

"Ini kerana kita memerlukan kerjasama dan ketelusan dalam maklumat berkaitan asal usul Covid-19," katanya.

Tedros berkata, dua teori utama hangat diperdebatkan yang tertumpu kepada virus ini daripada kelawar ke haiwan perantara belum menjangkiti manusia.

Atau, virus itu 'terlepas' daripada makmal kerana sesuatu insiden.

Beliau berkata, terdapat dua sebab untuk tidak menghentikan pencarian asal usul virus Covid-19.

"Pertama ialah, kita perlu mengetahui asal usul virus ini untuk langkah pencegahan seterusnya.

"Kedua, pandemik ini menyebabkan ramai yang meninggal dunia selain menyebabkan penderitaan kepada pesakit serta keluarga," katanya.

WHO menjalankan fasa pertama penyiasatan dengan menghantar pasukan pakar antarabangsa ke Wuhan, China pada 2021 untuk menghasilkan laporan fasa pertama.

Laporan itu itu ditulis bersama rakan sejawat mereka dari China.

Tetapi penyiasatan itu menghadapi kritikan kerana tidak mempunyai ketelusan dan akses serta tiada penilaian secukupnya terhadap teori kebocoran makmal.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2023 @ 6:10 AM